Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sajat harap dapat umrah yang mabrur
Diterbitkan:  Feb 2, 2020 3:02 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Usahawan dan penyanyi kontroversi Nur Sajat berharap semoga dia memperoleh umrah yang mabrur sewaktu berkunjung ke Kota Suci Makkah bersama keluarganya.

Sajat berkata demikian melalui perkongsian di akaun Instagram miliknya hari ini sambil memuat naik imej dia bersama ibu bapanya serta dua anak angkatnya.

“Syukur alhamdulillah… Dengan berkat keizinan rombongan kami sekeluarga ke tanah suci Makkah dan Madinah. Selesai sudah umrah kami sekeluarga di kota Makkah.

“Semoga kami sekeluarga mendapat umrah yang mabrur di sisi ‎Allah,” katanya.

Penyanyi lagu Makhluk Penggoda itu mengiringi perkongsian tersebut dengan imejnya memakai telekung manakala pada beberapa perkongsian berbeza pula, dia mengenakan purdah.

Kata Sajat, dia terharu apabila Allah tidak pernah membezakan umatnya dari segi darjat, umur, wajah, jantina, kedudukan, warna kulit atau perbezaan mazhab.

“Terasa diri ini kecil sangat sangat bila saya menjejak kaki di sini, betapa indahnya Islam. Ternyata bila di sini, kita semuanya sama. Menyembah Tuhan yang satu iaitu Allah,” katanya.

Sajat sebelum ini pernah beberapa kali menyatakan hasratnya untuk menunaikan umrah namun impian itu tidak kesampaian atas sebab-sebab tertentu.

Berkongsi perjalanannya mengerjakan umrah, Sajat berkata, tujuan dia ke sana adalah untuk berbicara dengan Tuhan mengenai kejadian dirinya.

Walaupun tidak menyatakan secara terperinci, Sajat seolah-olah membayangkan identitinya yang sebenar.

“Bila saya sampai di sini, saya berniat dalam hati saya nak berbicara dengan Tuhan, bicara soal kejadian saya, kenapa saya dilahirkan begini? Kenapa saya yang Allah pilih jadi macam ini? Kenapa saya yang banyak diberikan ujian? Kenapa saya selalu dikatakan dilaknat dan Syurga itu bukan milik saya?

“Kalau begini kejadian saya di muka bumi ini, kenapa Allah jadikan saya? Kenapa tidak pada orang lain? Tiada siapa yang hendak dilahirkan serba kekurangan,” katanya.

Sajat juga berkata, di tanah airnya, dia selalu dikutuk dan dicaci, namun perkara itu biasanya dipendamkan saja.

“Walaupun di Malaysia selalu dikutuk, dihina, dicaci malah pelbagai tohmahan diberikan kepada saya, saya hanya berdiam diri. Saya musafirkan diri saya.. mungkin apa yang berlaku pada diri saya, dianggap sudah tertulis menjadi insan bernama Nur Sajat,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kunjungan ke Makkah banyak membuka matanya untuk menerima dirinya yang sebenar selain dia sudah mendapat jawapan yang sering dicari-cari selama ini.

“Saya patut bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang, walaupun saya macam ini, saya tahu diri saya dan jiwa saya adalah perempuan.

“Saya bertuah kerana bukan semua orang terpanggil untuk mengerjakan umrah, berlinang air mata saya, bahawa saya patut syukur dan saya dah dapat jawapan sebaik-baik mungkin di sini,” katanya.

Sementara itu, melalui semakan Malaysiakini di media sosial, perkongsian Sajat mengundang polemik apabila segelintir daripada warganet mempertikaikan ibadah yang ditunaikan kerana isu status jantinanya.

Kata pengguna akaun @ctnurwahidah, dia berharap Sajat sememangnya wanita tulen kerana jika tidak, dia sepatutnya mengenakan ihram sesuai dengan jantina sebenarnya.

“Aku tak tahu nak komen macam mana tapi aku harap sangat-sangat Sajat ni memang wanita sebab kalau dia mempermainkan hukum Allah, tak boleh nak bayangkan la macam mana,” katanya.

Seorang lagi pengguna akaun @k-enanga berkata, sekiranya benar Sajat seorang transgender, dia tidak sepatutnya ke Mekah dengan berpakaian seperti itu.

“Aku tak kisah sangat Sajat lelaki ke perempuan, masalahnya tempat dia pergi tu Kota Suci. Bukan hal saya kalau dia nak tunai umrah. Saya sokong dia. Tapi jika benar dia seorang transgender, dia tak wajar berpakaian seperti itu. Itu biadab,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS