Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Perogol wajar dikenakan penjara seumur hidup - Nabila

Pelakon Nabila Huda mencadangkan agar hukuman ke atas perogol ditegaskan lagi kepada penjara seumur hidup walaupun untuk pesalah kali pertama.

Kata Nabila, perundangan sedia ada yang dikenakan sejak dulu dianggap tidak setimpal buat kesalahan jenayah serius yang memberi kesan trauma berpanjangan terhadap mangsa atau keluarga mangsa.

“Hukuman yang ada 20 tahun penjara misalnya dengan sebatan, yang ada tu pun boleh rayu untuk dikurangkan.

“Mangsa pula sebaliknya, mereka alami trauma seumur hidup. Ni tak adil. Justeru, seorang perogol wajar dikenakan hukuman lebih berat iaitu penjara seumur hidup,” katanya.

Sebagai seorang ibu yang bimbang dengan senario rogol, aktres itu berkata, sudah sampai masanya kerajaan memberikan keadilan memadai kepada mangsa.

“Bukan perkara mudah, hukuman terlalu ringan, perogol boleh dibebaskan begitu saja selepas jalani hukuman,” katanya.

Untuk rekod, bagi kesalahan merogol, mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Bagi kesalahan merogol secara berkumpulan, mengikut Seksyen 375B, Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun.

Nabila, 34, ditemui pada malam gala filem terbaru lakonannya, M4M4 di Mutiara Damansara, Petaling Jaya malam tadi.

M4M4 berkisahkan seorang ibu - watak dijayakan Nabila - cuba menangani emosinya dengan bangkit menuntut bela atas kematian anaknya, Alya (Bella Dowana).

Pelajar sekolah tingkatan tiga itu mati dalam satu insiden didalangi kumpulan samseng di kawasan kediamannya. Alya sebelum itu diperkosa ramai-ramai oleh samseng sama pada hari sepatutnya dia menyambut ulang tahunnya yang ke-15.

Filem genre horror thriller yang mendapat arahan Eyra Rahman itu dijadual menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 6 Februari depan.

Antara pelakon lain turut menjayakan M4M4 ialah Kodi Rasheed, Ungku Hariz, Niezam Zaidi dan Faizal Hussein.

Nabila berkata, berlakon dalam naskhah berkenaan sentiasa membuat dia tertanya-tanya apa tindakan akan dilakukan sekiranya kejadian itu berlaku pada anak sendiri?

“Sudah tentu saya akan gila,” katanya.

Pada masa sama, ditanya sama ada kisah M4M4 akan mengubahnya menjadi seorang ibu kuat mengongkong pergerakan anak, Nabila sebaliknya menafikan perkara tersebut.

Bagaimanapun, kata Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 itu, dia sentiasa mengingatkan anaknya, Keisha Laila yang kini berusia 10 tahun untuk sentiasa berwaspada dengan individu tidak dikenali.

“Alhamdulillah Malaysia masih negara selamat. Tapi malapetaka tak terjangka mungkin sudah tertulis. Walaupun tak mengongkong Keisha, saya pesan supaya ambil langkah berjaga-jaga.

“Saya nasihatkan, jika tak kenal lelaki tu dan dia cuba sentuh, jerit kuat-kuat atau nangis dan sewaktu berjalan sendirian fokus keadaan sekeliling, jangan asyik tengok telefon,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS