Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sertai jemaah tabligh 'ubat' jiwa Radhi OAG lepas bercerai

Mengaku sukar untuk berdepan dengan perceraian dan pada masa sama berdepan isu ketagihan dadah, vokalis kumpulan OAG, Radhi, mencari kekuatan diri. Antaranya dengan menyertai kegiatan kumpulan tabligh.

Kata Radhi, beberapa orang kenalannya yang membabitkan diri dalam jemaah tabligh pernah tampil membantu selepas dia melalui proses perceraian kedua dengan bekas isterinya, Nur Shahira Ayu Zahiri, pada Julai tahun lalu.

“Masa bercerai tu boleh diibaratkan Allah hantar bantuan yang dikehendaki-Nya kepada saya. Ni semua urusan Allah. Kami pergi jalankan aktiviti tabligh ke Pulau Babi, Johor,” katanya.

Menurut pemilik nama penuh Muhammad Radhi Razali itu, pada ketika ini, fokus utamanya ialah memastikan dia kuat untuk berdepan sebarang cabaran. Justeru dia akan cuba menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti pada waktu terluang.

“Siapa tak sedih kalau bercerai. Saya hanya manusia biasa, pernah juga mengalami tekanan akibat perceraian tersebut.

“Namun, saya mahu 2020 ni menjadi tahun untuk saya berdakwah dan aktif bermain muzik semula,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaru OAG, berjudul #ORI di Petaling Jaya, semalam.

Radhi berkahwin dengan Ayu pada 14 April 2014 dan dikurniakan dua anak, Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3.

Teringin bawa ke rumah sewa

Sebelum itu, Radhi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shazlin Sharif pada 1 Jan 2005 sebelum berpisah pada 8 Jun 2010. Hasil perkahwinan pertama itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rifdi Muslim, 14.

Berkongsi harapannya mengenai dua anak-anaknya yang masih kecil, Radhi berkata, dia teringin untuk bertemu dan menjaga mereka seperti sebelum ini.

“Bayangkan, hari-hari tidur dengan anak-anak, tiba-tiba mereka… Saya rindu mereka. Dah lama tak berjumpa.

“Memang teringin nak bawa balik ke rumah sewa terbaru dan luangkan masa bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai #ORI, Radhi, berkata, ia dihasilkan untuk memberi inspirasi kepada orang lain agar sentiasa bersedia menghadapi cabaran.

“Memang saya buat lagu tu disebabkan perpisahan yang berlaku. Walaupun pelbagai halangan yang menimpa di depan, anda haruslah menjadi diri sendiri, #ORI,” katanya.

Radhi merancang untuk mempromosikan naskhah terbaru itu melalui sesi jelajah band berkenaan, A New Beginning Tour, yang dijadual diadakan sepanjang tahun ini dan tahun depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS