Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

SIRI TV | Kita harus mengakui tema yang ingin dibawa Messiah ini agak berat. Ia perlu menjaga hati ramai pihak, baik Islam (Sunni-Syiah) juga Kristian dan Yahudi – kesemuanya daripada tradisi Semitik, anak cucu Ibrahim/Abraham dari jalur Ismail dan Ishak.

Bukan sedikit darah yang boleh tumpah jika fiksyen ini tidak dijaga dengan baik daerah sensitivitinya.

Kita pernah membaca tentang tawaran kepala Salman Rushdi yang lumayan kerana telah mempersendakan Nabi Muhammad dalam Satanic Verses, amukan orang Islam pada politikus Belanda Geert Wilders yang mempersendakan Nabi Muhammad dan banyak lagi.

Dalam kes agama lain seperti Hindu juga berlaku rusuhan terhadap pawagam yang menayangkan filem Aamir Khan berjudul PK.

Ternyata tajuk agama bukan tajuk sebarang fiksyen. Dan ini terbukti bila dua hari sebelum Messiah dipancarkan ke seluruh dunia, Jordan’s Royal Film Commision (RFC) mendesak supaya Netflix tidak menayangkan ‘drama provokatif’ itu di negara-negara majoriti umat Islam.

Ramai mengaku Mahdi

Cerita ini seperti tajuknya yang tertera berkisahkan tentang seorang lelaki yang dianggap Al-Masih.

Bayangkan Jesus atau Nabi Isa atau Imam Mahdi muncul di zaman moden Internet ini? Dan itulah yang cuba digambarkan Michael Petroni dengan Messiah atau Mahdinya (juga bernama Mehdi Dehbi).

Kita boleh melihat bagaimana sambutan besar-besaran yang diberikan oleh umat manusia (Kristian) dalam ‘pilgrim’ mereka dari Texas ke DC.

Keluarga Iguero seolah mendapat rahmat besar berkat kedatangan “Mr Al-Masih” ke gerejanya selepas taufan yang melanda.

Al-Masih, lakonan Mehdi Dehbi 

Felix, paderi yang percaya, Anna, isteri paderi yang mengingkari, sementara Rebecca yang kudus lagi naif.

‘Nabi suci’ itu mendapat ribuan like di Instagram Rebecca. Sementara di Timur Tengah, para sheikh di sana sedang membincangkan tentang fenomena ‘Al-Masih’ ini melalui gajet-gajet canggih mereka.

Bagaimanapun sebelum kelahiran protagonis kita ini, telah ramai yang mengaku sebagai Mahdi.

Selain dari kepercayaan mainstream Sunni (agak kabur) juga Syiah, di tempat kita tak kurang sepinya dari pengakuan seperti itu seperti yang berlaku pada Ashaari Muhammad yang mendirikan gerakan Arqam, yang mengaku sebagai pemuda Bani Tamim – pembantu kepada Imam Mahdi.

Selain konsep ‘Ratu Adil’ yang berkembang biak dan mendapat lahan yang subur di Nusantara kita, di Sudan juga pernah wujud gerakan Mahdi yang dipimpin oleh Muhammad Ahmad Bin Abdullah yang mempercayai dirinya adalah Imam Mahdi yang dijanjikan.

Beliau mengisytiharkan diri sebagai Imam Mahdi pada tahun 1881.

Beberapa siri perang telah dimenanginya menyebabkan beliau semakin yakin tentang ramalan hadith-hadith akhir zaman.

Sementara itu pada tahun 1893 di Teluk Milne (Milne Bay), New Guinea, tampil seorang pemimpin gerakan bernama Tokerau.

Al-Masih keluar dari mahkamah di Amerika Syarikat selepas berjaya mendapat suaka di negara itu

Dia menyampaikan ancaman akan terjadi bencana alam besar, seperti gunung akan meletus, banjir besar akan terjadi, kalau menolak menjadi pengikutnya sebagai nabi baru.

Gerakan prophet cults ini juga disertai janji balasan baik (reward) bagi yang setia kepadanya sesudah bencana alam yang merupakan hukuman (punishment) yang memusnahkan orang-orang yang ingkar.

Yang setia kepada nabi tersebut akan hidup dalam kemakmuran dan kebahagiaan. Alam mereka akan menjadi subur, haiwan ternakan akan berkembang biak dan sebuah kapal akan datang membawa nenek moyang mereka yang telah meninggal.

Tokerau juga mengharamkan segala barang dan produk Eropah. Para pengikutnya meninggalkan kampung halaman, menghindarkan bencana alam yang diramalkan akan terjadi. Akan tetapi, ketika ancaman bencana alam tidak terjadi, para pengikutnya kemudian marah dan melawannya serta mengancam akan membunuhnya.

Dalam keadaan begini, pemerintah menangkap Tokerau dan menghukumnya dengan penjara selama dua tahun. (Agama dalam Kehidupan Manusia: Pengantar Antropologi Agama, Bustanuddin Agus)

Bagaimana, sound familiar?

Kediktatoran keimanan

Sebenarnya masalah lebih banyak tak dapat diselesaikan dengan kehadiran second coming sebegini. Lebih banyak mendatangkan masalah berbanding masalah diselesaikan.

Messiah (dalam high expectation) kita ini tidak boleh sekadar melakukan ‘old trick’ seperti berjalan atas air, mengubati penyakit orang perseorangan (kerana sudah ada hospital kan?).

Babak Al-Masih berjalan di atas air, yang mengundang perhatian ramai

Messiah yang kita mahukan dan perlukan pastilah boleh dan sanggup menyelesaikan segala permasalahan yang real. Sunni-Syiah harus diberikan kata putus.

Kewujudan Mahdi atau nabi baru akan mematikan semangat penafsiran teks. Bukan sedikit masalah yang harus difikirkan oleh sesiapa yang mahu mengakui dirinya sebagai Nabi.

Kita harus jujur dalam melihat masalah ini. Para nabi suatu masa dulu muncul di zaman ketiadaan teknologi maklumat. Jadi terlalu banyak cerita mukjizat di sana-sini yang boleh disangsikan keberadaannya.

Semangat perjuangan-keadilan yang dibawa oleh para nabi itulah yang seharusnya ditiru. Apa-apa yang diajarkan oleh para nabi itu semua telah menjadi sistem atau sebahagian dari kehidupan kita.

Para pemuka agama ada yang korup, ada yang masih teguh melaksanakan. Sementara dalam siri TV ini lebih banyak faktor god is greater dari fakulti akal-rasional kurniaan tuhan.

Bagaimanapun kita harus membuka ruang kepada potensi atau prospek kepada Al-Masih ini.

Jika ia mendakwa bahawa dirinya benar dan selainnya salah (demokrasi, authoritarian, sosialis, komunis, kapitalis, liberal) maka ia harus mendatangkan teori ekonomi politiknya jua.

Dan pastilah teori ekonomi politik dan sosialnya itu harus diuji cuba. Dan ini yang gagal atau belum terpamerkan lagi dalam season 1.

Tentang keimanan juga, akhirnya pilihan apakah yang ada pada manusia? Jika messiah ini adalah jawapan (yang masih lagi diragukan), bukankah lebih baik tuhan sahaja muncul dan memberikan kepastian?

Orang Islam hari ini merujuk pada siapa?

Zaman sekarang adalah zaman kematian iman. Semua orang meraba-raba sendiri, mencari sesuatu yang boleh dipegang dan dipertahankan.

Baru-baru ini di sebuah negeri serambi Mekah, yang dipimpin oleh sebuah parti Islam baru sahaja membeli Mercedes.

Tidak berapa lama kemudian mereka baru sahaja meluluskan RM50,000 untuk setiap seorang exco mereka. Orang tidak mempercayai agama dalam bentukan mainstream lagi.

Rancangan-rancangan TV realiti mulai memasuki pekarangan rumah keagamaan. Kita tidak tahu adakah agama-agama lain juga mempunyai program TV realiti seperti Imam Muda, Dai’, Pencetus Ummah dan banyak lagi. Bahkan disokong oleh mufti Perlis.

Al-Masih, dengan pengikutnya menuju ke Israel

Selain Zakir Naik anak murid Deedat jaguh debat yang terkenal dengan dakwah agama superiornya, nama Yusof Qardhawi sudah tidak menarik, (mungkin kerana selalu sangat disebut Anwar, maka telah hilang magisnya), nama Erdogan sudah hilang seksinya, Tariq Ramadan cucu Hassan Albanna juga telah lama didekam dalam penjara kerana kes peribadinya.

Mitos orang agama sebagai orang suci sudah mulai dipertanyakan dan dipersoalkan. Ia sudah menjadi sesuatu yang hampir tidak dapat dipertahankan lagi.

Akhir zaman yang kacau bilau sentiasa sahaja berlaku. Pada zaman Mongol menjarah Baghdad, ulama mengatakan itulah Yakjuj-Makjuj.

Di akhirnya, akan sentiasa wujud orang yang mahu percaya dan orang yang mahu berfikir. Kita memilih sendiri mahu jadi apa.


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecilan, penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS