Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

"Doakan abang dikurniakan kesihatan agar dia boleh berdakwah seperti biasa,” demikian kata isteri Bob Lokman, Relawati Daud mengenai harapannya untuk suami yang sedang terlantar di hospital ketika ini.

Menurut Relawati, Bob dimasukkan ke hospital UiTM, Sungai Buloh pada 19 Januari lalu akibat kekurangan oksigen pada jantung.

“Memang dua, tiga hari ni abang penat disebabkan jadualnya. Kali ni dia dimasukkan ke hospital akibat jantung lemah selepas kekurangan oksigen.

“Abang mungkin boleh dilepaskan untuk pulang sekiranya air dalam badan kembali normal,” katanya ketika dihubungi.

Kata Relawati, 42, keadaan Bob yang menghidapi penyakit buah pinggang bertambah membimbangkan apabila dia menerima kesan alahan selepas mengambil ubat.

“Kakinya membengkak, kering, bernanah hingga tumbuh bintik-bintik merah. Tapi selepas disapukan krim, tanda kemerah-merahan tu berkurangan,” katanya.

Pengacara, pelawak dan penulis lirik terkenal berkenaan sebelum ini diberitakan bergantung pada tabung oksigen untuk pernafasan semasa tidur sejak 2013.

Bob yang pernah menulis lirik antaranya Isabella, Rendang Tak Berbuah dan Pada Syurga Di Wajahmu juga terpaksa mengambil 15 jenis ubat-ubatan dengan kos dianggarkan melebih RM1,000 setiap bulan.

Malaysiakini sebelum ini pernah melaporkan Bob meneruskan kelangsungan hidupnya dengan berniaga makanan sambil dibantu isteri dan arwah anak sulungnya, Mohamad Adam.

Bob dan Relawati memiliki lapan orang anak iaitu Mohamad Adam, 27, (meninggal dunia), Omar Hakim, 26, Ahmad Sufian, 25, Ahmad Rayyan, 14, Nur Amanee, 12, Luqmanulhakim, 11, Muhammad Danial, 8, dan Nur Amalin,6.

Menurut Relawati, perniagaan mereka terpaksa dihentikan ekoran masalah kesihatan dihidapi Bob selain dia tidak mempunyai kudrat mencukupi untuk menguruskan aktiviti itu sendirian.

“Kedai dah tutup, abang dah tak larat nak masak. Sekarang dia banyak tumpukan pada kuliah maghrib di masjid-masjid atau pun surau,” katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa PAS pusat, Dr Riduan Mohd Noor melalui hantarannya di Facebook turut berkongsikan keadaan kesihatan dihidapi pengacara, pelawak dan penulis lirik terkenal berkenaan.

Untuk makluman Bob sebelum ini pernah menyertai PAS dan bergiat aktif dalam parti itu.

Kata Riduan, Bob yang sedang mengikuti aktiviti jelajah kuliah di Terengganu sepanjang minggu ini dimasukkan ke hospital akibat mengalami masalah buah pinggang.

“Minggu ni dalam jadual padat jerayawara (road show) di Terengganu, jasadnya sangat lemah dan dibawa ke hospital UiTM, Sungai Buloh oleh rakan-rakan Pejabat Menteri Besar Terengganu.

“Menteri Besar Terengganu pernah menaja penginapan bilik Bob selama sebulan di Terengganu supaya mudah untuknya berdakwah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS