Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Puteri Balqis harap tiada orang salahkan ibunya
Diterbitkan:  Jan 15, 2020 3:11 PM
Dikemaskini: 7:19 AM

Pelakon cilik Puteri Balqis berharap ibunya tidak dipersoalkan, apatah lagi dipersalahkan, ekoran musibah yang dihadapinya.

Puteri Balqis meluahkan kekesalannya dengan kata-kata sinis oleh pelakon Nabila Huda di Twitter semalam yang dipercayai ditujukan kepadanya.

Nabila mempersoalkan mengapa ibu bapa Puteri Balqis yang sepatutnya mampu bekerja, tidak menampung kehidupan remaja berkenaan.

“Sanggupkah anda, membiarkan seorang budak mengidap kanser untuk berjalan satu Kuala Lumpur untuk cari rezeki, pernah ikat perut tiga hari, sedangkan diri tu sempurna mempunyai kaki dan tangan untuk bergerak?,” ciapnya.

Puteri Balqis, atau mesra disapa Aqish, berkata ibunya bukanlah seburuk yang disangkakan sesetengah pihak sehingga membiarkannya menjual buku di jalanan.

“Puteri sedih, buat auntie Nabila Huda, Puteri minta jangan persoalkan ibu Puteri. Laman media sosial bukan untuk itu,” katanya, yang menjelaskan dia mengikut ibunya berniaga di sekitar Kuala Lumpur atas kehendak sendiri.

 Kata pelakon filem Satu Lawan Satu itu, dia tidak sanggup melihat wanita berkenaan bersusah-payah sendirian.

“Ni jawapan Aqish buat mereka yang hanya mendengar tapi tidak menyelami, hanya menuduh tapi tidak memahami. Jika auntie salahkan orang lain tak apa, tapi jangan disebut atau disalahkan ibu Puteri.

“Ibu Puteri berhabis puluhan ribu untuk mencari jalan menyelamatkan Puteri," katanya lagi.

Kemunculannya dalam program Bersamamu baru ini untuk berkongsi kepayahan hidupnya yang menyayat hati mengundang perhatian umum.

Sehari kemudian, dia muncul pula dalam program Malaysia Hari Ini bagi mempromosikan buku puisi yang diilhamkannya.

Mengulas lanjut, Puteri Balqis, 12, berkata ibunya tidak pernah berhenti bekerja tetapi kepayahannya bertambah kerana perlu menanggungnya yang sering sakit.

“Ibu merupakan satu-satunya ahli keluarga yang tak pernah tidak bekerja. Dari dulu dia memang selalu jual macam-macam, di set penggambaran pun jual asam jeruk.

“Mungkin tidak diizinkan lagi untuk berjaya, ada duit seperti auntie, ujian untuk ibu Puteri ialah kesusahan. Ujian untuk rakan-rakan auntie ialah kemewahan,” katanya.

Pada masa sama, Puteri Balqie menafikan ibunya begitu kurus kerana menggunakan bahan-bahan terlarang.

“Puteri tahu apa itu dadah. Kadang-kadang waktu kami berjalan awal pagi sering ditahan polis, tapi syukur ibu sentiasa dilepaskan kerana tidak mengambil dadah.

“Fizikal ibu yang kurus kerana tidak makan, tak cukup tidur dan depresi. Sewaktu Puteri sakit, ibu kadang-kadang tak tidur takut Puteri sakit semasa tidur,” katanya lagi.

Balqis sebelum ini pernah diberitakan mengidap barah namun tidak diperincikan lebih lanjut penyakit yang dihidapi.

Bagaimanapun Pakar Pediatrik dan Neonatologi, Pusat Pakar Swasta Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Masri Muhamed mengesahkan Puteri Balqis tidak menghidap penyakit itu.

Sewaktu wawancara bersama Puteri Balqis dalam Bersamamu, dia berkata remaja itu menghidap penyakit berlainan tetapi tidak memberikan penjelasan lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS