Paling Popular
Terkini

Menyedari dirinya kurang berbakat dalam bidang lakonan, Awal Ashaari berkata dia menolak banyak tawaran daripada produksi yang mahukan khidmatnya dalam karya mereka.

Kata Awal, disebabkan kemampuannya dalam lakonan terbatas, dia tidak kisah jika tawaran yang singgah itu dilepaskan kepada mereka yang benar-benar berbakat.

"Dari dulu sampai sekarang, saya memang tak suka tengok diri sendiri berlakon. Aduh, nampak sangat dibuat-buat.

"Baik saya serahkan jepada pelakon yang lebih hebat," katanya ketika ditemui pada sidang media Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) di sebuah restoran di Kuala Lumpur semalam.

Awal diumumkan sebagai hos program berprestij itu dan bakal bergandingan dengan Sherry Al Hadad dan Haziq Hussni.

Bagi suami pelakon Scha Alyahya itu, tiada bidang yang dirasakan lebih sesuai dengan dirinya berbanding pengacaraan.

Disebabkan minat mendalam dalam bidang itulah yang membuatkan dia kembali mengendalikan program hiburan Melodi, selepas dua tahun meninggalkan rancangan terbitan TV3 itu.

Mengulas lanjut, Awal berkata dia kembali ke rancangan itu kerana diberi kebebasan untuk berkarya.

"Dulu saya tinggalkan Melodi bukan sebab merajuk tetapi kerana ingin sesuatu kelainan daripada rutin dilakukan. Sebabnya, enam tahun berada di situ dan asyik ulang perkara sama.

"Sepanjang tempoh dua tahun tinggalkan Melodi, saya cuba cari diri sendiri dan cuba aktif berlakon sebentar selain berniaga. Tapi jiwa ini tetap nak jadi hos," katanya lagi.

Awal berkata, dia dibenarkan produksi untuk mengendalikan segmen sendiri dalam program berdurasi 90 minit itu.

"Alhamdulillah, penerbit setuju dengan cadangan segmen yang saya suarakan iaitu membuat sesuatu liputan menggunakan pendekatan temubual artis secara lebih dekat.

"Saya juga perlu serius lakukan tugas ni selama setahun, kena fokus tak boleh main-main," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS