Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
M Nasir: Kepada peminat, nikmatilah gabungan super ini
Diterbitkan:  Jan 9, 2020 4:01 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

Penyanyi dan komposer terkenal tanah air M Nasir tampil dengan kolaborasi bersama dua penyanyi Hip Hop berbakat besar, Kmy Kmo dan Luca Sickta dalam single terbaru mereka berjudul Zuhud.

Menurut M Nasir, dia tidak teragak-agak untuk menyertai projek berkenaan dan bangga dengan hasil karya hasil kerjasama mereka.

“Sesuatu yang saya tidak terlalu banyak berfikir dan teragak-agak untuk lakukan. Saya pohon Allah reda dengan karya kami dan kejayaan pada kumpulan yang berbakat besar ni.

“Saya rasa terharu dan berbangga dengan pencapaian gabungan ini dan bersyukur dan gembira apabila diajak merakam bersama.

“Untuk peminat-peminat, nikmatilah gabungan super ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Difahamkan, Zuhud adalah salah satu langkah sebelum dia dijangka membuat kemunculan dengan sebuah single tidak lama lagi.

M Nasir kali terakhir mengeluarkan album pada 2006 iaitu Sang Pencinta. Baru-baru ini dia mengkritik lagu-lagu sekarang yang baginya terlalu mengejar pendengar sehingga tidak bereksperimen dan kurang kreatif.

Kmy Kmo dan Luca Sickta pula mula menjadi sebutan dengan single Gong Nekara pada tahun lalu, yang antara lain dikatakan sebagai 'diss track' yang ditujukan kepada rapper terkenal Altimet.

Kesudian artis yang terkenal dengan gelaran sifu untuk berkolaborasi dengan duo itu menjanjikan nilai estetika tersendiri dalam single tersebut.

Ciptaan bersama mereka bertiga, Zuhud mendapat sentuhan Luca Sickta atau nama sebenarnya Shameer Ashraf selaku penerbit rakaman.

Ia menggabungkan rentak hip hop dan elemen muzik tradisional Melayu seperti serunai dan gamelan.

Sementara itu, Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim berkata mereka cuba menerapkan beberapa mesej tersirat dan tersurat menerusi karya tersebut.

“Zuhud merupakan pesanan kami kepada semua pendengar untuk tidak angkuh dengan apa yang kita miliki di dunia kerana itu semua hanya bersifat sementara, dan berbaliklah kepada matlamat utama kita iaitu mencapai bahagia di akhirat.

“Saya dan Luca bersyukur kerana lirik lagu Zuhud yang ditulis sepenuhnya oleh kami ini diterima baik oleh M.Nasir.

“Ianya merupakan suatu penghormatan buat kami kerana berpeluang berkolaborasi dengan lagenda muzik terkenal tanahair,” katanya.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS