Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nam Ron khuatir menteri bangang ganti Maszlee
Diterbitkan:  Jan 3, 2020 1:12 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Nam Ron bimbang seorang pemimpin yang gemar mengikut telunjuk atau pak turut mengisi jawatan menteri pendidikan susulan keputusan Dr Maszlee Malik melepaskan jawatannya berkuatkuasa hari ini.

Pengarah dan pelakon itu - yang membahasakan dirinya sebagai Tok Ayah (TA) - berkata, melalui pemerhatiannya, landskap politik tanah air kini diwarnai generasi yang boleh disifatkannya seperti “lembu dicucuk hidung”.

“Apa yang TA takuti jawatan ini akan diisi oleh menteri bangang seperti ini. Maka habislah anak-anak kita kena cucuk hidung seperti kita. Jadi pak turut,” katanya di media sosial.

Menurut pemilik nama sebenar Shahili Abdan itu, hal berkenaan dialaminya sendiri sewaktu dia masih di bangku sekolah dan menteri pendidikan pada ketika itu adalah Anwar Ibrahim.

“Dulu masa TA sekolah, TA benci betul menteri pelajaran waktu tu yang bernama Anwar Ibrahim. Dialah yang beria-ia mahu kaedah merotan murid depan khalayak dilaksanakan.

“Baginya itu adalah kaedah pembelajaran terbaik. Melayan murid seperti lembu. Hingga melahirkan satu generasi yang telah dirosakkan jiwa mereka. Parut dirotan mungkin hilang tapi kesan psikologi anak-anak akan kekal.

“Generasi ditarik hidung inilah yang mewarnai landskap sosial dan politik rakyat Malaysia hari ini,” katanya.

Semalam, Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan dalam satu sidang media khas di Putrajaya.

Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu sering menjadi sasaran kritikan antaranya keputusan pemakaian kasut hitam di sekolah dan isu pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Bagaimanapun, satu petisyen dalam talian yang dilancarkan sejak petang semalam menggesa agar Maszlee dikekalkan sebagai menteri pendidikan mendapat lebih 100,000 tandatangan.

Pengarah Gedebe itu pada masa sama juga meluahkan perasaannya yang berdukacita sebaik mendengar keputusan Maszlee kerana beranggapan mempunyai hubungan ‘istimewa’ dengan beliau selepas mereka mula berkenalan sewaktu majlis tayangan filem arahannya One Two Jaga.

Bagi Nam Ron, 50, Maszlee dilihatnya seorang yang amat mengambil berat soal pendidikan selain mempunyai visi luas berhubung industri perfileman tanah air.

“Dari perbualan itu TA dapati dia seorang yang mengambil berat soal pendidikan. Kami banyak sembang pasal anak tidak sah taraf yang tidak mendapat pendidikan sewajarnya kerana taraf ibu bapa mereka.

“Selain itu, TA terkesan bila dia juga melihat filem boleh menjadi medium untuk pendidikan bukan hiburan semata-mata. Banyak juga kami sembang pasal pendidikan melalui filem.

“Itulah kali pertama dan terakhir TA duduk bersembang dengan dia. Ini kerana selepas itu TA mendapat dua kali jemputan untuk makan-makan bersama di kediamannya. Ke dua-dua jemputan itu TA tidak hadir,” katanya.

Menurut Nam Ron, dia mempunyai alasan tertentu untuk menolak pelawaan Maszlee itu.

“TA tolak bukan sebab TA tak suka akan dia tetapi sebab TA memang tak pernah pergi jumpa menteri. Dari dulu lagi TA memang begitu. TA cuma suka mengutuk orang yang suka jumpa menteri.

“Oleh itu, TA mahu mengutuk sekeras-keras terhadap mereka yang menyebabkan beliau meletak jawatan. Kita kehilangan seorang yang berjiwa besar dalam sistem pendidikan nasional. Alangkah ruginya anak-anak kita,” katanya.

Sebagai tanda protes terhadap peletakan jawatan Maszle, Nam Ron mendakwa, dia dengan sendirinya mengisytiharkan cuti sekolah buat anak-anaknya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS