Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Haneesya Hanee mahu 'cuci imej' dengan Mengejar Mimpi

Pelakon dan model Haneesya Hanee meletakkan single sulung Mengejar Mimpi sebagai taruhan bagi membersihkan imejnya yang pernah terpalit kontroversi sebelum ini.

Daripada terus dilabel sebagai artis penuh dengan kisah sensasi, Haneesya berkata, dia inginkan sesuatu yang segar agar umum tidak lagi memandang serong terhadapnya.

Justeru, kata pemilik nama penuh Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahalan itu, Mengejar Mimpi diyakini hadir pada waktu terbaik dan pada masa sama mampu mengetengahkan bakatnya sebagai seorang penyanyi rap.

“Lagu ni boleh buatkan orang ramai tahu bahawa Haneesya Hanee ada perkembangan positif dalam kehidupannya, ni adalah waktu terbaik untuk hasilkan muzik,” katanya.

Hanessya ditemui pada sidang media pelancaran lagu berkenaan di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Mengejar Mimpi yang juga menampilkan Hanessya, 19, buat julung kalinya sebagai penyanyi rap adalah hasil kolaborasi bersama kumpulan Bimasakti.

Naskhah ciptaan Hariss Yusoff dan penulis lirik, Jim Bimasakti itu berkisahkan kehidupan Haneesya yang terpaksa berdepan dengan kemelut buli siber susulan satu persatu kisah berkaitan dirinya dihidangkan di media sosial.

Terdahulu, gelaran Haneesya sebagai Juara Dewi Remaja 2018/2019 dilucutkan selepas 72 jam kerana dianggap melanggar syarat penyertaan dan kontrak pertandingan.

Gelaran juara diberikan kepadanya ditarik balik oleh penganjur.

Meskipun Mengejar Mimpi boleh menyebabkan dirinya menerima kecaman lagi, pelakon drama Cik Reen dan Encik Ngok Ngek itu berkata, dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan.

I learned the hard way. Sebenarnya apa saja saya buat, orang masih akan bercakap buruk mengenainya. Jika buat perkara jahat, lagilah orang akan bercakap.

“Pada akhirnya, saya perlu fikirkan diri saya, apa yang akan menggembirakan diri sendiri, takkan asyik nak takut dengan netizen, love it, or leave it,” katanya.

Mengulas lanjut, sebelum ini katanya, dia pernah mengalami kemurungan akibat khuatir jika setiap tindak-tanduknya bakal mengundang kecaman di media sosial.

“Banyak gambar diambil melalui telefon misalnya tak dimuat naik di Internet sebab saya jadi takut gila dengan apa netizen akan kecam.

“Tapi, melalui muzik, anda boleh cuba melenyapkan tekanan perasaan atau marah, insya-Allah segala-gala akan berubah baik,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS