Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kak Lina Pom Pom nikah 17 Jan
Diterbitkan:  Dec 17, 2019 4:19 PM
Dikemaskini: Dec 18, 2019 5:05 AM

Setelah selamat bergelar tunangan orang, penyanyi dan pelakon Elly Mazlein mengumumkan pula tarikh pernikahannya dengan seorang guru yang akan berlangsung pada 17 Januari depan.

Elly memaklumkan berita gembira itu pada majlis pertunangannya yang penuh gemilang di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Dia yang mengenakan busana hijau pastel rekaan Jimmy Couture meluahkan perasaan syukur selepas segala perancangan diatur berjalan lancar sekali gus meninggalkan kenangan indah buat dirinya dan Mohamad Azlan, 29.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana majlis ini berjalan lancar seperti dirancang. Saya terharu apabila melihat wajah kesayangan turut hadir memeriahkan permulaan hari bermakna dalam hidup saya ini.

“Doakan juga semoga segala urusan kami menuju ke gerbang perkahwinan dipermudahkan Allah.

“Memandangkan ini perkahwinan pertama suami, saya mahu setiap majlis menjadi kenangan terindah buat kami berdua,” katanya.

Memetik BH Online, bakal ibu mentuanya Zaitun Abdullah menyarungkan sebentuk cincin pada jari manis penyanyi popular dengan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu.

Pada majlis yang dihadiri hampir 200 tetamu itu, pihak lelaki turut menghadiahkan lima dulang hantaran, berbalas tujuh.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada Indah Ruhaila dan Siti Sarah.

Elly sebelum ini pernah mendedahkan dia sedang menjalin hubungan romantis dengan seorang jejaka berasal dari Kelantan selain mereka sedang merancang ke fasa berumah tangga tahun depan.

Namun, dia kerap mengunci mulut setiap kali ditanya media berhubung tarikh rasmi hari bahagianya bersama pemuda berkenaan.

Di majlis tunang tersebut Elly juga masih belum bersedia untuk mendedahkan wajah bakal suaminya yang digelar sebagai Papa Awan Nano itu.

Sebaliknya, Elly memilih untuk berbuat demikian hanya pada malam berinai bulan depan.

Terdahulu, Elly pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah, Azmi Hatta pada 9 November 2014.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Putri Sara Sefhia namun pasangan itu kemudian bercerai pada 15 Oktober 2015.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS