Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mahkamah benar Farid Kamil tangguh hukuman penjara

Pelakon dan pengarah Farid Kamil Zahari dibenar menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan terhadapnya kerana menggunakan dadah, sehingga rayuannya selesai.

Pada pertengahan November lepas, Farid Kamil diperintahkan menjalani hukuman itu selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 15 Mei lepas.

Hari ini, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu sehingga kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu selesai didengar.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai hakim Yaacob Md Sam membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap Farid Kamil dengan syarat jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

“Bagaimanapun, pemohon (Farid Kamil) boleh memohon pasport diserahkan sementara kepadanya jika ada keperluan,” kata Yaacob yang bersidang bersama-sama Hakim P Ravinthran dan Abu Bakar Jais.

Terdahulu, peguam Kee Wei Lon memohon penangguhan itu sementara kebenaran untuk merayu didengar pada 7 Januari 2020.

Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail tidak membantah terhadap permohonan peguam itu.

Sebelum ini, Farid Kamil telah pun menjalani hukuman penjara itu di Penjara Kajang, selepas Mahkamah Majistret tidak membenarkan permohonannya untuk penangguhan pelaksanaan hukuman.

Bagaimanapun, pada 19 Jun lepas Mahkamah Tinggi sama membenarkan permohonan pelakon itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara yang sedang dijalaninya sehingga rayuannya selesai dan dia dibebaskan dari penjara.

Sepanjang perbicaraan bermula 18 Disember 2018 di Mahkamah Majistret, seramai lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan manakala pelakon itu memilih untuk berdiam diri.

Mengikut peruntukan undang-undang, sekiranya tertuduh memilih untuk berdiam diri, mahkamah tiada pilihan lain selain menyabitkan tertuduh atas pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Farid Kamil didakwa menggunakan dadah dikenali sebagai THC, iaitu ‘11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 4.30 petang, 11 Jan 2018.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Turut hadir di mahkamah isterinya, pelakon Diana Danielle.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS