Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Tiga persatuan mendesak kerajaan menubuhkan sebuah badan bebas untuk menyediakan laporan mengenai kemelut yang membelenggu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sekarang.

Menurut kenyataan dikeluarkan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Persatuan Seniman Malaysia dan Persatuan Animasi Malaysia itu, badan berkenaan wajar dianggotai wakil persatuan dan pakar perundangan.

Kata mereka laporan tersebut perlu diserahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) memandangkan apa yang berlaku pada Finas sekarang.

Presiden PTVM, Jurey Latiff Rosli, berkata isu yang perlu diteliti badan bebas berkenaan bukan saja membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dengan pengerusi agensi itu, Hans Isaac, serta lembaga penasihat, malah peranan agensi terbabit mengikut Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia.

“Pergolakan dalaman Finas bukan lagi rahsia kepada industri apabila ada media melaporkan Ahmad Idham direhatkan daripada menjalankan tugas-tugas sebagai CEO mulai 4 Dis lalu.

“Tugas beliau pula dipangku oleh Timbalan Ketua Pengarah Finas, Subaidah Md Top,” katanya.

Mengikut kenyataan bersama tersebut situasi berkenaan tidak pernah berlaku di Finas dan ia merupakan perkara serius buat agensi kerajaan yang menjaga hal ehwal industri kandungan kreatif tempatan.


Baca Sebelum Finas ditimpa malang ganda lima


Justeru, kata persatuan terbabit, mereka memohon penjelasan secara menyeluruh daripada KKMM berhubung kemelut melanda badan tersebut - yang bagai tiada kesudahan.

“Kami memohon penjelasan apakah sebenarnya yang berlaku kerana ia pasti menjejaskan nama baik KKMM apabila seorang CEO direhatkan, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Selain itu mereka juga menggesa KKMM menyelesaikan kemelut yang didakwa berlaku di antara Ahmad Idham dan Hans Isaac.

“Ini demi membantu memajukan industri kandungan kreatif tempatan. Pihak kami juga mahu dihentikan segera campur tangan pengerusi dan ahli lembaga Finas,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS