Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Awie dan Erra Fazira yang pernah dikaitkan dalam hubungan romantis suatu ketika dulu akan ‘bercinta’ di pentas dalam Konsert Awie Romantika di Stadium Malawati, Shah Alam 15 Feb tahun depan.

Awie berkata, konsert berkenaan dirancang bukan sekadar mengimbau memori pernah dijalinkan mereka bersama, bahkan bakal mendedahkan punca percintaan mereka putus di tengah jalan.

Menurut pelakon dan penyanyi itu, alasan utama dia ingin berbuat demikian ialah kerana masih dihujani pertanyaan sama berulang kali mengenai kisah cinta lamanya dengan bekas ratu cantik Malaysia itu.

Kata Awie, biarpun akan dianggap seperti ingin menjaja kisah cintanya dengan Erra untuk melariskan konsert tersebut, hal itu tidak dipedulikan kerana niat sebenarnya sekadar ingin menjernihkan keadaan dan pada masa sama menghentikan segala spekulasi.

“Ke mana pun kami berdua pergi, akan ada pertanyaan sama ada, di mana Awie; atau di mana Erra? (Atau) kahwin sajalah dengan Erra…

“Persoalan itu berlanjutan sampai sekarang, walaupun saya sudah berkahwin sekali lagi. Makin kencang spekulasi apabila peminat tengok kami sudah berbaik semula.

“Justeru konsert berkenaan akan merungkai persoalan peminat mengenai perpisahan itu. Saya nak pengakhiran yang baik.

"Pada masa sama orang memang sukakan hiburan, jadi dengan konsert ia boleh mengindahkan kisah,” katanya.

Contoh erat silaturahim

Awie ditemui pada majlis pengumuman Erra sebagai artis undangan Konsert Awie Romantika di sebuah hotel di Seri Kembangan hari ini.

Konsert berkenaan akan menghidangkan lagu-lagu nyanyian pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman itu daripada album solonya - sempena karier solo yang memasuki tahun ke-25 - selain diselitkan sketsa yang akan menampilkan lakonan Erra.

Persembahan Awie, 51, bakal diiringi kumpulan pemuzik pimpinan Aznan Alias dan Firdaus Mahmud.

Penyanyi Ukiran Jiwa itu berkata, demi menjaga hati banyak pihak, dia terlebih dahulu meminta izin daripada isterinya, Sharifah Ladyana Syed Samsuddin, sebelum 'bercinta' dengan Erra.

"Cuma satu syarat dia letak - dia nak bergambar dengan Erra,” katanya yang turut terkenal sebagai penyanyi Tiada Rahsia Antara Kita itu.

Untuk rekod, Awie menikahi Sharifah Ladyana kira-kira tiga tahun lalu.

Sementara itu, Erra berpendapat, peminat yang matang boleh bersikap terbuka untuk menerima kisah yang bakal dilakonkannya dengan Awie nanti.

“Saya percaya kalau dulu ada peminat yang tak mampu terima kami tiada jodoh dan membuat pelbagai spekulasi kini mereka boleh terima dengan positif.

“Ni contoh baik untuk erat silaturrahim, apabila hubungan tak menjadi, jangan bermusuh,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Awie bersama rombongannya akan terus bergerak bagi mengadakan siri jelajah di zon selatan sempena untuk konsert berkenaan.

Antara lokasi dikunjungi ialah Menara Taming Sari, Melaka; Batu Pahat Mall, Banafae Village dan Angsana JB Mall di Johor Bahru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS