mk-logo
Seni & Hiburan
Komik papar kisah wanita Uighur diseksa raih 2.5 juta bacaan
Diterbitkan:  Nov 27, 2019 12:56 PM
Dikemaskini: 5:19 AM

Komik Jepun, atau lebih dikenali sebagai manga, yang memaparkan kisah seorang wanita etnik Uighur yang ditahan dan diseksa pihak berkuasa menjadi tular, dengan meraih 2.5 juta bacaan.

Komik bertajuk What has happened to me hasil karya Tomomi Shimizu itu juga diterjemah ke pelbagai bahasa, antaranya Inggeris, Cina dan Uighur serta sejumlah lagi bahasa lain, menurut laporan Guardian semalam.

Menurut laporan itu, populariti yang diraih komik itu berbetulan dengan kemarahan masyarakat dunia terhadap laporan berkenaan layanan buruk kerajaan Cina terhadap etnik minoriti Muslim itu di Xinjiang.

Misalnya akhbar itu dan beberapa lagi organisasi media pada minggu ini menyiarkan laporan berkenaan tindakan China menahan tanpa bicara lebih sejuta orang etnik itu.

Pendedahan dokumen sulit kerajaan China oleh Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ) pada Ahad lalu pula menerangkan gerak kerja dalaman yang menindas terhadap tahanan di Xinjiang.

Menurut Guardian, dokumen itu menjadi pengesahan rasmi pertama bahawa kem tanahan itu digunakan untuk mencuci otak dan bukan bagi latihan dan vokasional seperti yang dinyatakan pihak berkuasa China.

Komik pendek itu berdasarkan pengalaman Mihrigul Tursun yang ditahan tiga kali oleh pihak berkuasa selepas pulang dari Mesir.

Antaranya berkenaan dirinya ketika melahirkan anak kembar tiga ketika tinggal di Mesir, dan ketika ditahan pihak berkuasa dan diseksa sebanyak tiga kali - secara berasingan - antara 2015 dan 2017.

Wanita berusia 30 tahun itu pernah memberi keterangan di Kongres Amerika Syarikat mengenai penindasan hak asasi di kem tahanan di Xinjiang.

Dia antara lain berkata tidak mendapat tidur yang cukup ekoran sel yang sesak dan lampu yang sentiasa terbuka. Dia juga berkata diikat pada kerusi dan diseksa berulang-kali.

Ketika dalam tahanan, katanya, seorang anak lelakinya meninggal dunia dalam keadaan misteri di sebuah hospital di Urumqi iaitu ibu kota Xinjiang.

Mihrigul terputus hubungan dengan suaminya. Dia yakin suaminya ke China untuk mencarinya dan dijatuhkan hukuman penjara 16 tahun.

Dia kini tinggal di Amerika Syarikat bersama anak lelaki dan perempuan.

Selain meraih 2.5 juta bacaan, What has happened to me juga setakat ini dikongsi lebih 86,000 kali di Twitter, sejak dimuat naik Ogos lalu.

Menurut Shimizu, dia pertama kali mendapat tahu tentang penderitaan etnik minoriti Muslim di China melalui kalangan komuniti Uighur di Jepun.

Karya pertamanya berkenaan isu itu bertajuk No one says the country’s name diterbitkan April lalu.

“Walaupun China ialah negara jiran, ia penuh dengan perkara tidak diketahui. Misi saya ialah menceritakan kepada masyarakat luar mengenai mereka," katanya seperti dipetik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS