Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | Malang sebenar bukanlah sewaktu Ketua Pegawai Eksekutif Aflix TV mengatakan “yang marah sangat kenapa Netflix kena sensor (tapis) memang tak sayang anak-anak.”

Malang yang sebenar adalah sebaik sahaja Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, melantik Ahmad Idham menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Impian indah penggiat seni dan para karyawan untuk melihat industri filem negara ini berubah sebenarnya layu dan mati sebaik saja menteri itu mengumumkan perlantikan Ahmad Idham.

Industri perfileman negara ini malang kerana ia sering dipimpin oleh mereka yang tidak sepatutnya. Kerap industri malang ini ketuai oleh orang yang menganggap filem sekadar hirisan timun dalam sebungkus ciput nasi lemak yang berstatus “side income”.

Pekerja filem sesekali dirai penuh gemilang dalam satu dua acara anugerah karpet merah. Bergegak-gempitalah semuanya dengan segala jenis hiburan penuh kemeriahan.

Namun sebaik tamat acara malam anugerah, semuanya berjalan keluar. Mereka pada hakikatnya adalah pekerja filem penuh malang yang menyembunyikan seribu satu cerita malang di balik gaun mewah dan sut mahal yang ditayang-tayang.

Potensi ekonomi

Sepuluh tahun dulu - iaitu pada 23 Okt 2009 - perdana menteri ketika itu mengisytiharkan penggubalan Dasar Industri Kreatif Negara yang lebih komprehensif sebagai asas memacu pembangunan sektor berkenaan.

Ucapan yang dibacakan sewaktu pembentangan Belanjawan 2010 itu menyebut hal peruntukan Dana Industri Kreatif berjumlah RM200 juta bagi membiayai aktiviti pengeluaran filem, drama, muzik, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan kreatif tempatan.

Malah kerajaan juga pada waktu itu menubuhkan Tabung Kebajikan Penggiat Seni dengan peruntukan RM3 juta sebagai geran pelancaran.

Dasar Industri Kreatif Negara itu kemudian diluluskan Parlimen pada Nov 2010 dengan memberi fokus kepada tiga bidang utama iaitu multimedia kreatif, seni budaya dan warisan budaya.

Dokumen Dasar Industri Kreatif Negara itu turut menyebutkan bahawa secara purata industri kreatif negara ini menyumbang pada anggaran kira-kira 1.27 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia sekaligus memberikan indikasi bahawa industri kreatif yang penuh malang sejak sekian lama ini sebenarnya sangat berpotensi menjadi penyumbang besar serta melonjakkan ekonomi dan pendapatan negara yang barangkali ketua-ketua di Finas sekarang ini langsung tidak tahu atau tidak mampu nak fahamkan.

Juga jangan sesekali kita melompat terperanjat apabila pengerusinya lebih berminat akan hal bedak, gincu dan uban, sibuk dengan kempen larangan pelakon muda dimekap sebagai atuk dan nenek dengan alasan agar artis veteran dapat terus mencari makan.

Sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah sebahagian daripada insiden malang yang memerlukan kita menjadi kuat menghadapinya.

Keberatan bahas visi dan misi

Aksi menabur gula-gula dan coklat ke atas kepala para karyawan memang jelas kelihatan. Ia bersifat populis dan cukup ketara hanya bersifat sementara, sia-sia serta langsung tidak membawa penyelesaian.

Selain berbangga dengan 15 manifesto rahsia yang mereka kemukakan sebagai pelan, kepemimpinan Finas hari ini terlalu kerap terjebak dengan perkara yang bukan-bukan.

Seperti kesibukan mereka pada awal dulu yang menuntut penjelasan penganjur Festival Filem Malaysia tentang hal gandingan “kejutan” yang menyampaikan penganugerahan.

Malang industri penuh malang ini malah bertimpa-timpa jadinya, apabila seorang ketua lebih berkobar-kobar dan berdegar-degar mahu bercakap tentang Fazura, Fattah Amin dan malam anugerah.

Malang industri ini kemudiannya jadi ganda dua apabila dia keberatan untuk membahaskan visi, misi dan cita-citanya berkenaan soal perancangan serta hala tuju jangka pendek, panjang dan sederhana Finas yang sepatutnya dibeberkan agar jadi panduan buat semua pekerja industri perfileman.

Malangnya kita apabila pemimpin industri yang kita punya tidak bersungguh-sungguh membentangkan lembar-lembar kertas kerja tentang betapa industri perfileman ini amat terdesak untuk melakukan banyak transformasi bagi mengangkat kualiti penerbitan filem.

Sebagai contoh mudah, misalnya merencanakan keupayaan Finas memperbanyak dan memperkayakan inisiatif sokongan berbentuk teknologi serta CGI yang menepati piawai antarabangsa bagi kegunaan produksi tempatan.

Pekerja filem jadi rider GrabFood

Malang industri ini kemudiannya jadi ganda tiga apabila ketuanya sibuk dengan acara Seminar Keluarga Sejahtera lalu dengan segera mengusulkan agar kerajaan melalui Lembaga Penapisan Filem (LPF) menapis kandungan di Netflix yang kononnya sangat membahayakan.

CEO sebuah badan seperti Finas perlu bijak selain berani, dan memiliki kepekaan. Tugas CEO Finas seharusnya memikirkan bagaimana membangunkan industri yang mereka kelola melalui bidang kuasa yang ada.

Finas tidak perlu terburu-buru mahu menjadi polis moral atau agamawan segera yang mahu menyekat itu dan ini hingga merencatkan pembangunan filem yang seharusnya Finas selia.

Malang industri ini tiba-tiba berganda empat. Sedang ada pekerja filem yang terpaksa jadi “rider” GrabFood atau FoodPanda ditengah bandar raya ketua-ketua Finas itu tetap juga kering idea tentang bagaimana caranya untuk membangun dan mengukuhkan industri ini sebagaimana potensi yang disebutkan dalam Dasar Industri Kreatif Negara.

Mereka di Finas hari ini mungkin tidak pernah terfikir untuk mengusulkan kepada kerajaan agar mewujudkan inisiatif bersepadu atau kerjasama agar beberapa syarikat gergasi negara melabur dalam industri filem bagi menjadikan industri malang ini rancak, “reliable” dan berdaya saing sebagai sebuah industri yang boleh diharap dan dipercaya.

Finas tidak seharusnya sibuk dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedangkan banyak isu asas lain belum selesai. Misalnya berkaitan kontrak, penyelarasan kadar bayaran gaji dan upah, perlindungan insurans sewaktu bekerja serta bayaran dari stesen televisyen kepada produksi yang sejak 30 tahun dulu bukan saja tidak meningkah, malah makin rendah.

Finas sepatutnya berbicara tentang dasar serta akta yang mahu dibawa ke Parlimen. Sejak sekian lama industri ini tidak pernah mempunyai apa-apa peruntukan undang-undang atau akta khas yang mampu melindungi hak dan menjamin kebajikan serta faedah kepada seluruh pekerja yang kebanyakannya adalah merupakan “freelancer”.

Finas seharusnya menjadi badan yang bijak memanafaatkan bakat warga kerja dengan menghubungjalinkan teknologi, komunikasi dan sumber melalui kerjasama syarikat-syarikat yang kuat dan berdaya saing.

Finas sepatutnya bercakap tentang mewujudkan polisi-polisi industri yang mampan dan mampu memberikan sesuatu kepada masyarakat negara ini, sebagai sesuatu yang menguntungkan industri, para pekerja filem serta negara.

Justeru, apa perlunya ada Finas dengan pengerusi dan CEO yang tak reti skop tugas dan fungsi kerja sampaikan malang industri yang bertimpa-timpa ini dah nak ganda lima?


HARIS HAUZAH seorang penulis skrip dan anggota sidang utama Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS