Siti Nurhaliza memberi sokongan penuh terhadap penyanyi Bob Yusof yang membawa lagu Anta Permana ketika Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 yang berlangsung 22 November lalu.
Penyanyi asal lagu tersebut malah mempertahankan Bob apabila timbul cakap-cakap yang tidak menyukai nyanyiannya di pentas itu.
Menganggapnya sebagai perkara biasa, Siti menyifatkan Bob adalah penyanyi yang versatil dan pilihan tepat untuk menyampaikan lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu.
“Apabila diberi tanggungjawab saya tahu Bob boleh lakukan yang terbaik. Walaupun ada komen yang suka dan tidak, bagi saya ia perkara biasa.
“Kami memilih Bob sebab dia bagus menyanyikan lagu sebegini. Pendek kata, dia ada kelebihan tersendiri
“Bob pun sudah banyak kali menyanyikan lagu ini dalam persembahannya. Dia buat ‘minus one’ sendiri juga,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Siti, 40, yang kini muncul dengan single Terang berkata, Bob dipilih bagi menggantikan dirinya selepas perbincangan dan persetujuan semua pihak.
“Saya, Kak Rozi dan pasukan Universal Music pun berbincang juga dengan Hael dan Ezra. Masing-masing sepakat dan bersetuju.
“Kalau penyanyi wanita, saya memang sukakan Ernie. Cuma, dia pun turut bertanding. Jadi tak boleh. Macam dikatakan tadi, Bob adalah pilihan tepat kami,” katanya lagi seperti dipetik.