Menganggap 4U2C sebagai sesuatu yang sangat berharga, pengasasnya, AC Mizal, menyatakan rasa terkilan kerana ada antara anggota kumpulan terbabit belum memperoleh kejayaan seperti yang diharapkan.
Penyanyi, pelakon dan pengacara itu berkata, sehingga kini dia masih berusaha membantu setiap anggota 4U2C untuk mencapai tahap yang membanggakan.
“Jenama 4U2C ni macam baby saya. Justeru, saya sedih sebab masih ada belum mendapat kejayaan seperti saya inginkan," katanya.
Kata AC, hasrat untuk membantu anggota kumpulan itu timbul kerana dia sudah menganggap setiap anggota 4U2C seperti adik-beradik sendiri.
“Saya akan cuba bantu adik-beradik. Selagi ada yang belum dapat mereka capai, saya akan bantu,” kata pemilik nama sebenar Mizal Zaini itu.
AC Mizal ditemui semasa menghadiri majlis pengumuman Konsert Stereo Fest di sebuah hotel di Petaling Jaya baru-baru ini.
Festival diadakan di Sentosa, Singapura, itu dijadual berlangsung selama dua hari bermula pada 22 Feb tahun depan. Ia akan menggabungkan 20 artis dari Singapura, Indonesia dan Malaysia.
Cuma mengimbau waktu silam
Selain 4U2C, antara selebriti Malaysia yang turut menjayakan Stereo Fest ialah New Boyz dan Zee Avi. Dari Indonesia pula ialah Judika dan Jaz manakala Rahila Rashun dan ANBS mewakili Singapura.
Untuk rekod, 4UC2 ialah kumpulan yang terkenal pada awal 1990-an dengan lagu seperti Fiona dan I Miss You.
Sementara itu, mengulas kemunculan semula 4U2C di Stereo Fest, AC Mizal berkata, mereka menerima tawaran berkenaan bukan disebabkan ingin mengejar dunia glamor seperti pernah dikecapi suatu ketika dulu.
Sebaliknya, kata AC Mizal, mereka kembali demi keseronokan untuk beraksi semula sebagai sebuah kumpulan di konsert muzik Melayu pertama dan terbesar di Kota Singa itu.
“Dunia glamor sudah habis, sekarang fokus kami untuk berseronok di pentas dan kami dah tak fikirkan populariti lagi. Alhamdulillah, masih diberikan peluang,” katanya.
Menurutnya, 4U2C juga ingin mengubati kerinduan peminat melalui dua single terbaru mereka - yang akan dihasilkan tidak lama lagi - untuk dipersembahkan di Singapura nanti.
“Single ni dilahirkan bukan untuk kejar carta nombor satu, tetapi hanya untuk mengimbau kenangan zaman lalu,” katanya.
Bagaimanapun, AC Mizal berkata, kekangan masa selepas anggota 4U2C membawa haluan masing-masing menjadi antara cabaran terbesar untuk mereka berlatih bagi memuat persembahan bersama.
“Kami semua ada kerjaya sendiri. Dua anggota kami ada karier di Indonesia, malah seorang daripada mereka sudah membeli rumah dan berkahwin dengan wanita sana.
“Justeru, peluang untuk berkumpul semula agak terhad. Tapi kami sudah tahu kemampuan masing-masing dan tak berapa risau untuk persembahan,” katanya.