Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Melly berang jadi imej raikan Halloween
Diterbitkan:  Nov 1, 2019 6:16 PM
Dikemaskini: 10:16 AM

Penyanyi dan pencipta lagu terkenal Indonesia, Melly Goeslaw, berang apabila mengetahui dirinya dijadikan bahan persendaan sesama selebriti di majlis sambutan perayaan Halloween.

Kemarahan yang meluap-luap itu dilampiaskan Melly melalui akaun Instagram (IG) miliknya semalam dengan memuat naik sebuah klip video yang diulang daripada akaun penyanyi Vidi Aldi.

Video berkenaan menampilkan jurusolek artis, Bubah Alfian, yang berdandan menyerupai Melly sambil mengenakan kostum bermotif bunga-bungaan, berhijab dan memakai topi putih.

“IG saya tak dirampas. Saya memang amat marah, marah sangat. Selama ni, pesta kostum yang menggunakan imej saya, tak pernah saya marah.

“Kerana selalu ditampilkan dengan baik, tak jadi bahan ketawa yang melampau. Bagi saya, ni membuli. Terserah kepada anda kalau rasa ni lucu.

“Bagi saya tak lucu sama sekali. Saya ulang semula IG Story malam tadi supaya pengikut saya tahu, bukan cuma pengikut kamu saja,” katanya.

Untuk rekod perayaan Halloween biasanya diraikan di negara Barat bagi memperingati orang yang telah mati.

Melly berkata dia sengaja bertindak menguar-uarkan perkara itu supaya individu lain boleh belajar untuk menjadi lebih peka dengan isu sensitif.

“Tuhan beri hati bukan untuk dekorasi badan doang, tapi buat digunakan supaya peka. Saya tak anggap ni kelakar, meskipun semalam tu sempena pesta kostum Halloween.

“Saya bukan hantu woooy, biar kamu kata semalam ada yang jadi Atta (halilintar), jadi KD, bodoh amat. Harus ada seperti saya yang berani menegur,” katanya.

Anggap Melly idola

Melly, 45, secara sinikal juga berkata dia berharap agar tiada siapa dalam kalangan selebriti ditimpa kejadian sama seperti dialaminya.

“Mungkin tak penting bagi kamu, tapi begitu mendalam buat saya,” kata penyanyi lagu Tak Tahan Lagi itu.

Pada akhir kenyataan itu, Melly berkata, seboleh-bolehnya dia tidak mahu memanjangkan isu berkenaan, namun penting untuk melepaskan kemarahannya.

Bagaimanapun, melalui semakan Malaysiakini petang ini mendapati, kenyataan itu telah diturunkan Melly.

Suami Melly, penulis lagu dan penyanyi Anto Hoed juga tampil membela isterinya dengan berbicara lebih tegas sambil merujuk kepada Undang-undang Informasi dan Transaksi Elektronik Indonesia (UU ITE).

“Negara ini mempunyai undang-undang yang melindungi warganya, iaitu UU ITE. Selamat bertanggungjawab. Saya mencintai apa yang telah Allah berikan (Melly) sebagai separuh jiwa saya," katanya.

Sementara itu, Bubah tampil meminta maaf secara terbuka atas perbuatannya itu dengan memberi alasan bahawa dia tidak berniat untuk menyinggung Melly.

Sebaliknya, kata Bubah, tindakannya bersolek seperti Melly itu dilakukan kerana dia menyanjung penyanyi tersebut.

“Dia ialah idola saya, sosok yang saya kagumi, semua karyanya saya hafal dan ada dalam senarai lagu telefon genggam saya.

“Semalam tanpa saya sedari telah menyinggung dia dan keluarganya. Dari dalam lubuk hati, saya memohon maaf kepada Teteh (Melly), @antohoed, keluarga dan rakyat Indonesia kerana kelakuan saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS