Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Berada di kedudukan dua terakhir peserta Gegar Vaganza musim enam (GV6) pada Ahad lalu, Sham Visa sedar dia perlu bertindak pantas untuk meneruskan kelangsungan penyertaannya dalam program realiti berkenaan.

Selain menyatakan dia memang bersedia dengan segala kemungkinan, Sham berkata, untuk persiapan konsert keempat yang lebih mencabar, dia mahu belajar daripada penyanyi yang lebih junior - Naqiu Boboy.

“Tugasan minggu depan saya perlu berduet dengan penyanyi jemputan. Saya kena rajin berlatih dan belajar dengan Naqiu,” katanya.

Dengan suara lemah, Sham juga berkongsi cerita, dia sebenarnya berasa sungguh kecewa apabila mengetahui namanya berada di kedudukan dua terbawah dalam kalangan 12 peserta keseluruhan pada minggu ketiga.

Dalam posisi itu, nasib memang bagaikan telur di hujung tanduk kerana biasanya hanya seorang peserta yang diberikan tugasan pada minggu seterusnya manakala seorang lagi bakal tersingkir.

Namun kadang-kadang penganjur memang boleh melakukan kejutan apabila lebih daripada seorang peserta disingkirkan.

“Saya kecewa. Apabila nama tak disebut-sebut lebih awal, saya terfikir untuk akur saja (seandainya tersingkir). Saya sudah bersedia,” katanya.

Sham atau nama penuhnya Rohisham ditemui selepas persembahan konsert ketiga GV6 berakhir di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam baru-baru ini.

Tema dibawakan Yang Aneh-aneh pada minggu itu menyaksikan Naqiu sekali lagi mengungguli kedudukan pertama selepas dia memberikan persembahan bertenaga melalui lagu #123, dendangan asal Khai Bahar.

Konsert itu turut menyaksikan Ameer Sofazr tersingkir selepas dia gagal menawan hati juri sewaktu menyampaikan Samrah Mentari (Jamal Abdillah).

Mengulas kedudukannya pada malam itu, Sham, 43, berkata dia diserang perasaan gemuruh semasa persembahan menyebabkan gagal melakukan apa yang sepatutnya.

“Macam-macam perasaan ada waktu tu. Bimbang pun ada juga. Saya diserang gemuruh tapi saya kuatkan juga semangat untuk nyanyi sampai habis,” katanya yang diberikan tugasan membawakan lagu Sayang Sayang.

Untuk rekod, Sham diberi tugasan untuk mempersembahkan lagu My Heart dendangan penyanyi Indonesia Irwansyah dengan Acha Septriasa secara duet bersama Marsha Milan untuk tema Haa Tepok pada minggu keempat.

Tidak mahu membiarkan peluang yang diberi berlalu dengan sia-sia, penyanyi yang mendapat julukan Tony Stark Malaya itu berkata, kali ini dia akan mencuba nasib untuk melakukan sehabis baik.

“Sementara masih diberi peluang, saya akan cuba buat sedaya yang mampu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS