Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mualaf solat pun nak pertikai - Altimet
Diterbitkan:  Oct 27, 2019 5:34 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

Penyanyi Altimet kecewa dengan hantaran di media sosial yang mempertikaikan sama ada sah atau tidak solat seorang mualaf bernama Malik Abdullah yang dibawanya bersembahyang Jumaat.

Ini kerana tangan saudara baru Muslim itu dilihat bertatu.

“Sembahyang Jumaat tapi tangan ada tatu, sah ke?” Soal satu hantaran di media sosial.

Altimet kemudian tampil mempertahankan tindakan saudara baru Islam itu.

“Aku bawa saudara baru pergi solat Jumaat pun kau nak pertikai solat dia sah ke tak.

“Penatlah aku macam ni,” katanya pada hantaran Facebook.

Kiriman Altimet itu seterusnya tular dengan mendapat sejumlah empat ribu tanda suka, 583 komen dan 249 perkongsian.

Terdapat juga pengguna laman Facebook yang menyokong tindakan Altimet dengan membawa Malik menunaikan solat.

Seorang pengguna Facebook Mohd Shukri Abd Rahman berkata: “Elok la bawak dia pergi solat. Apa apa pun terbaik. Semoga dia mendapat hidayatul Islam.”

Seorang lagi pengguna bernama Shah Akim pula mengulas, “yang tak ada tatu pun ramai yang tak sembahyang Jumaat. Kita patut rasa malu dekat dia (Malik)."

Dalam perkongsiannya semalam di laman Instagram, Altimet memuat naik gambarnya bersama Malik.

Bagaimanapun, ada pengguna laman sosial yang mempertikaikan sama ada solat yang dilakukan oleh Malik sah ataupun tidak kerana tatu ditangannya.

Mengulas lanjut, penyanyi lagu Amboi itu berkata tindakan membawa Malik menunaikan sembahyang Jumaat hanyalah sebahagian usaha kecilnya untuk membimbing saudara baru yang mahu memahami selok belok agama Islam.

“Lantak korang lah, aku nak support dia. Kau masuk kubur kau, aku masuk kubur aku. Allahualam. Peace and love, guys,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS