Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Tidak menyangka akhirnya nekad bertutup kepala, pelakon Wan Sharmila mengaku dia lega apabila diberi kekuatan untuk melakukan penghijrahan itu.

Kata Wan Sharmila, keputusan untuk tampil bertudung itu mendapat respons positif daripada mereka yang dekat dengannya, malah tidak kurang juga ada yang melontarkan soalan cepumas: sama ada dia berbuat demikian kerana mahu melangkah ke alam rumahtangga.

Namun, menurutnya, dia belum menuju ke arah itu tetapi tetap bersedia sekiranya jodoh menjadi antara hikmah diberi Allah selepas melakukan perubahan tersebut.

“Ada orang tanya: nak kahwin ke? Tapi saya fikir, tak payah tunggu kahwin dulu, baru nak berhijab. Mungkin Allah kata, pakai tudung dulu, rezeki jodoh itu Dia hadirkan kemudian.

“Mana tahu dengan bertudung Allah akan dekatkan lagi jodoh... amin,” katanya.

Wan Sharmila ditemui pada sidang pengumuman Anugerah Skrin 2019 (ASK2019) di sebuah restoran di Kuala Lumpur semalam.

ASK2019 dijadual berlangsung pada 1 Nov ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.

Jangan cepat melatah

Imej dikongsikan Wan Sharmila sewaktu bercuti ke Osaka, Jepun baru-baru ini menguatkan lagi spekulasi peminat bahawa dia sebenarnya sudah bertudung kepala.

Semua foto serta video dirakamkan memaparkan pemilik nama penuh Wan Sharmila Wan Muhamed itu mengenakan hijab.

Untuk rekod, pelakon drama Bahagia Bukan Bidaan itu mula mengenakan tudung sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-38 pada 12 Oktober lalu.

Dia juga mendedahkan sebenarnya sudah lama berhasrat untuk bertudung dan mula membiasakan diri dengan imej itu sewaktu tampil berlakon dalam beberapa drama sebelum ini.

“Penonton tak tahu. Mereka ingat saya bertudung kerana memenuhi keperluan skrip lakonan, sebenarnya tidak.

"Saya sendiri mahu memakai penutup kepala tu tanpa disuruh sesiapa,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Sharmila berkata, dia masih baru dan perlu banyak mempelajari cara untuk menutup aurat dengan sebaik-baiknya.

“Jangan ada yang begitu cepat melatah jika saya terbuat silap dan jangan meletakkan harapan terlalu tinggi kerana masih baru belajar,” katanya.

Antara ujian awal dapat dirasakan Wan Sharmila sebaik bertudung ialah apabila ramai yang memuji penampilan barunya itu.

“Saya tak mahu tenggelam dengan pujian, itulah dugaan bagi saya. Bila orang hargai, mereka akan letak jangkaan lebih tinggi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS