Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Konsert House Boom Music 2019 bakal digegarkan dengan persembahan Ratu Rock Negara, Ella termasuk muzik daripada pelbagai genre dalam acara berdurasi tujuh jam.

Penganjurnya, Azri Zahier Azmi berkata, konsert dijadual berlangsung 10 November depan itu mengambil tempat di Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines, Seri Kembangan.

Menurut Azri, pihaknya berharap konsert berskala besar itu dapat meraih minat seramai mungkin rakyat negara ini yang ternanti-nanti gabungan unik pelbagai genre.

“Kami menyasarkan seramai 7,000 ribu pengunjung bakal hadir memeriahkan acara ini.

“Ilham menggabungkan pelbagai genre dalam satu acara diterima daripada maklum balas peminat dan pencipta muzik.

“Kami percaya konsert ini akan mencetuskan fenomena tersendiri sekali gus mencatat sejarah indah dalam diri setiap penonton yang hadir nanti,” katanya.

Azri ditemui pada sidang media pengumuman Konsert House Boom Music 2019 di sebuah kompleks beli-belah kelmarin.

Selain Ella, persembahan turut dijayakan band terkenal antaranya Hujan, Pop Shuvit, Gerhana Ska Cinta dan K-Clique.

Katanya, kejayaan konsert tahun lalu, membuatkan pihak mereka tampil positif untuk menyediakan konsert dengan kapasiti lebih besar dan meriah.

“Kami ingin mengajak rakyat Malaysia untuk sama-sama hadir dan menyokong industri seni muzik tempatan.

“Siapa lagi akan menyokong bakat seni tempatan jika bukan rakyat Malaysia sendiri,” katanya.

Mengulas caj bayaran RM30 bagi pembeli terawal (early bird), Azri berkata, pihaknya tidak mensasarkan keuntungan semata-mata sebaliknya lebih memfokuskan kandungan untuk disampaikan kepada pengunjung.

“Matlamat kami nak pengunjung yang beli tiket berpuas hati selain dapat menikmati persembahan. Ni harga mampu milik.

“Lagipun siapa tak kenal Hujan, Ella, Pop Shuvit atau Gerhana Ska Cinta?

“Mereka ini semua mempunyai bakat luar biasa dan jumlah kelompok peminat yang sangat ramai, ” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS