Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penulis tolak anugerah kerana 'dosa' kerajaan
Diterbitkan:  Oct 11, 2019 2:30 PM
Dikemaskini: 6:30 AM

Penulis terkenal Indonesia, Eka Kurniawan, menolak Anugerah Kebudayaan dan Maestro Seni Tradisi 2019 yang menjanjikan hadiah berjumlah Rp50 juta (RM14,800) dan pengecualian cukai sebagai tanda protesnya terhadap kerajaan.

Alasan utama mendorong Eka enggan menerima pengiktirafan daripada kerajaan Indonesia ialah kerana baginya, tidak ada bukti nyata Jakarta melindungi seniman dan kerja-kerja kebudayaan.

Menyatakan pendirian melalui hantaran di Facebook Eka menjelaskan, dia mula terfikir untuk menolak penghargaan tersebut ketika dihubungi pegawai Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonedia pada Ogos lalu.

ketika itu, kata Eka, dia dimaklumkan bakal menjadi calon penerima Anugerah Kebudayaan dan Maestro Seni Tradisi 2019 untuk kategori pencipta, pelopor dan pembaharuan.

Anugerah itu - jika diterimanya - akan disampaikan semalam.

“Pertanyaan saya (kepada pegawai terbabit) ialah, pemerintah mahu beri apa? Dia kata, antara lain, pin dan wang bernilai Rp50 juta serta potongan cukai.

“Reaksi saya secara spontan ialah: kenapa jumlah itu jauh berbeza kalau dibandingkan dengan atlet yang memperoleh pingat emas di Sukan Asia tahun lalu?" katanya.

Apa khabar Wiji

Penulis novel Cantik Itu Luka dan Seperti Dendam, Rindu Harus Dibayar Tuntas itu memberitahu untuk pemenang pingat emas Sukan Asia, atlet negara itu menerima habuan Rp1.5 bilion (RM444,022).

Mengakui pertanyaan itu agak "gila" Eka berkata, ia tetap wajar dan ada sebab untuk dibangkitkan.

Kata penerima Anugerah Prince Clause Belanda itu lagi, keadaan berkenaan menganggu fikirannya.

“Perbezaan semacam itu menampar saya dan membuat saya tertanya-tanya - negara ni sebetulnya peduli dengan kesusasteraan dan kebudayaan secara umum atau tidak?” katanya.

Pada masa sama, Eka, 43, sempat terfikir untuk menerima anugerah tersebut kerana setidak-tidaknya ia dapat membantu meringankan beban kewangannya, namun kekecewaan membuatkan dia mengambil keputusan sebaliknya.

"Memberi penghargaan kepada penulis macam saya memang tak akan menjadi berita heboh, apalagi sohor kini di media sosial.

"Namun, walaupun menyesal, selama beberapa hari saya cuba mengingat dan mencatat dosa-dosa kerajaan mengenai kebudayaan, sekurang-kurangnya saya masih ingat," katanya.

Wiji Thukul

Antara "dosa" itu yang disebut Eka ialah serbuan ke atas sebuah Toko Buku Nagare Boshi di Padang pada Jan lalu dan rampasan sejumlah buku yang didakwa menyebar fahaman komunis.

Turut berlaku rampasan, kata Eka, ialah di kedai buku di Kediri pada Dis tahun lalu.

"Apa kabar penyair kami, Wiji Thukul?

"Presiden yang sekarang menjanjikan untuk menyelesaikan kes-kes hak asasi manusia kerajaan lalu - sudahkan jadi kenyataan? Sifar besar!" katanya.


Baca Darip wartawan veteran kepada penasihat media DAP


Sementara itu pegawai Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Yayuk Sri Budi Rahayu, berkata tiada penerima lain akan dipilih bagi menggantikan Eka.

Katanya Eka berhak menolak pemberian tersebut - yang disebutkannya perlu melalui proses pemilihan yang panjang oleh tokoh terpilih - dan ia bukanlah hadiah sebagai pertandingan.

"Eka memang ditetapkan sebagai pemenang tahun ini. Kalau memang dia tak berkenan, ya, itu hak dia, dan wang yang disediakan akan dikembalikan kepada kerajaan," katanya.

Mengenai nilai hadiah yang diberikan, Yayuk mengakui ia belum setanding dengan pemenang bidang lain, termasuk sukan, tetapi kerajaan akan menambah baik hal tersebut dari semasa ke semasa.

"Kami akan memperbaikinya dari tahun ke tahun. Itu kemampuan negara yang mampu diberikan," katanya seperti dipetik Kompas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS