Penyanyi Adira Suhaimi memfailkan permohonan cerai dibuat terhadap suaminya Adnan Abu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang hari ini.
Permohonan itu difailkan Adira pada 1 April lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi menjawab dia tetap akan meneruskan perceraian tersebut ketika ditanya Hakim Syarie Mohd Faizal Habib.
Bagaimanapun, Adnan atau dikenali dengan panggilan Datuk Red ketika disoal Mohd Faizal membantah permohonan isterinya itu.
Menurut laporan Harian Metro, prosiding hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pelantikan hakam pegawai mahkamah namun ditangguhkan.
Ini berikutan selepas peguam syarie Mohd Hafiz Abd Rashid yang mewakili Datuk Red memohon prosiding ditangguhkan kerana anak guamnya membuat semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung hakam keluarga.
Mohd Faizal menetapkan tarikh 17 Disember depan sebagai tarikh sebutan hakam kes perceraian itu.
Adira, 28, diwakili peguam syarie Siti Nur Zafirah Mohd Padzil.
Datuk Red tiba jam 2.50 petang di mahkamah bersama dua rakannya dan kemudiannya Adira yang dilihat berseorangan jam 3.05 petang.
Sebelum ini, media melaporkan Datuk Red tidak tahu isterinya itu akan memfailkan perceraian.
Ahli perniagaan itu turut menafikan mengenai isu perceraian malah memberitahu ia hanya spekulasi.
Sepatutnya, prosiding permohonan cerai dilakukan Adira pada jam 9 pagi tadi tetapi penyanyi itu meminta waktu diubah kerana tidak menyangka perkara itu (permohonan cerai) sudah diketahui umum.
Cakap-cakap sebelum ini mengenai perceraian pasangan itu timbul apabila ruangan gosip sebuah portal hiburan menyiarkan cerita artis wanita diceraikan ketika sedang hamil anak ketiga.
Adnan bernikah dengan Adira di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015. Adira merupakan isteri kedua Adnan
Hasil perkahwinan itu, Adira dan Adnan dikurniakan tiga cahaya mata, termasuk puteri yang baharu sahaja dilahirkan dua bulan lalu.
Melalui perkahwinan pertama Adnan, dia dikurniakan lima cahaya mata.
Sebelum itu, Adnan pernah bernikah pada usia 20 tahun, namun bercerai selepas lima tahun bersama dan hasil perkahwinan itu dia dikurniakan dua cahaya mata.