Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Badul mahu inkues siasat kematian anak
Diterbitkan:  Sep 26, 2019 11:09 PM
Dikemaskini: 3:09 PM

Pelakon dan pelawak veteran, AR Badul, dilaporkan tidak berpuas hati dengan keputusan lembaga siasatan Tentera Darat Malaysia (TDM) berhubung kematian anaknya yang diklasifikasikan sebagai kemalangan dalam latihan.

Oleh itu beliau mahu kerajaan melaksanakan inkues bagi mencari kebenaran punca kematian Mejar Mohd Zahir Armaya pada 4 Sept lalu.

“Saya serta keluarga rasa tidak puas hati dan kecewa dengan keputusan yang dikeluarkan TDM dan mahukan penjelasan yang jelas mengenai punca kematiannya.

“Kalau boleh saya mahukan inkues, seperti yang dijalankan terhadap anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim,” katanya kepada pemberita pada majlis tahlil, di Shah Alam, malam ini, lapor BH hari ini.

Badul atau nama penuhnya, Armaya Aman Ramlie, 70, berkata beliau bukan mahu menuduh atau mencari salah siapa, sebaliknya cuma mahu keluarga dan orang awam mendapat penjelasan berhubung kejadian membabitkan Mohd Zahir.

“Saya mahu tahu kronologi kematian dia.

"Bagaimana peluru boleh tersasar? Adakah posisi (cara dia berdiri) salah dan sebagainya," jelasnya.

Terdahulu TDM hari ini mengesahkan insiden kematian Mohd Zahir sebagai satu kemalangan dalam latihan.

TDM menerusi kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat lembaga siasatan yang mendapati insiden itu diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil dan merupakan kemalangan dalam latihan.

"Ahli lembaga juga mendapati peralatan dan kelengkapan yang digunakan semasa latihan keupayaan tersebut berada dalam keadaan baik.

"TDM akan mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya terhadap individu terlibat, sementara prosedur operasi standard dikemas kini jika perlu," menurut kenyataan itu.

Arwah merupakan Mejar Komando Kem Sungai Udang, Melaka meninggal dunia akibat tertembak ketika membuat gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah, awal bulan ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS