Seseorang yang ingin bertanjak wajar benar-benar memahami maksud di sebalik pemakaian hiasan kepala itu, termasuk mengapa ia diikat sedemikian rupa, kata Sasterawan Negara, Prof Dr Siti Zainon Ismail.
Misalnya, menurut Siti Zainon, seseorang yang bertanjak - atau bertengkolok - tidak akan membawa apa-apa makna sebenar jika mereka gagal menggalakkan persaudaraan yang memang penting.
Katanya, pada masa sama pemakai tanjak juga perlu memahami bahawa apa yang dikenakan di kepala masing-masing bukan 'alat' untuk menyerlahkan apa yang terkandung dalam hati.
“Tanjak hanya alat saja, bagaimana kalau pakai tapi hati tak ceria?
"Jangan pakai saja tanjak kita anggap hati sudah terbuka,” katanya kepada Malaysiakini.
Sasterawan Negara ke-14 itu ditanya mengenai kempen pihak tertentu yang menggerakkan Hari Tanah Melayu Kembali Bertanjak yang dijadual berlangsung sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.
Penggeraknya, Nur Ahmad Faiz Mohd Adni sebelum ini berkata, kempen berkenaan bertujuan mengembalikan rasa cinta orang ramai terhadap pakaian tradisional Melayu.
Menurut kenyataan di laman sesawang dikenali sebagai Tanah Melayu, antara lain kempen tersebut ialah untuk mencetuskan semula jati diri Melayu yang berakhlak tinggi, mengenal diri, berfikiran halus dan berjiwa pemimpin.
Kempen Hari Tanah Melayu Kembali Bertanjak itu didakwa sesetengah pihak sebagai usaha menolak rasisme yang didakwa dipromosi sesetengah ahli politik.
Semakan Malaysiakini mendapati, laman sesawang kempen berkenaan mencatatkan rekod lebih 39,000 penyertaan untuk kempen yang dijangka berlangsung selama tiga hari itu.
Maklumat yang tertera juga memaklumkan bahawa tiada unsur-unsur politik dalam kempen yang bakal diadakan.
Kata Siti Zainon, isu kebencian dan perkauman sebenarnya semuanya berpunca daripada jiwa dan hati yang tidak dibersihkan.
"Kalau dah memang tak suka, macam mana nak damaikan hati," katanya.
Siti Zainon juga menjelaskan, pemakaian tanjak - atau turut dikenali dengan nama lain seperti destar - bukan fesyen dipakai untuk suka-suka.
Justeru, pemakaiannya perlu dijaga mengikut adab dan adat tertentu kerana keistimewaan tanjak terletak pada perlambangan dibawa, iaitu penganugerahan kepada si pemakai.
“Masing-masing kena tahu pakai tanjak itu untuk apa, ikut kesesuaian majlis sebab ia ada sejarah budaya.
"Ada destar diraja misalnya, berwarna putih dan kuning yang tabu dipakai merata tempat," katanya.
Selain itu, kata Siti Zainon, untuk membudayakan kembali tradisi pemakaian orang Melayu itu, wajarlah ia digayakan serba lengkap dengan sepersalinan.
“Memakai sepersalinan busana Melayu serba lengkap begitu harus ada tanjak, baju, seluar, samping dan keris sekali," katanya.
Siti Zainon juga menyeru agar anak muda yang berhasrat ingin menyemai rasa rasa bangga menyarung pakaian orang Melayu itu untuk menyemarakkan makna tanjak dan pemakaiannya melalui perbualan dalam seharian.
"Kalau boleh bukan saja pakai tanjak tapi masing-masing bercerita dan saling bercakap agar dapat mengenali dan memberi pemahaman antara satu sama lain," katanya.