Afdlin Shauki mengambil sikap bertenang dan enggan mengeruhkan keadaan hubungannya dengan AC Mizal ketika penyanyi terbabit didakwa mencantas peluangnya untuk melangkah lebih jauh dalam perniagaan.
Pengarah dan pelakon itu berkata, kejadian berpunca selepas mereka tidak sependapat berhubung cara pengendalian saluran Syiok TV yang kini dikenali sebagai Awesome TV Asia.
Justeru, kata Afdlin, 48, dia mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menjalinkan kerjasama dengan AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 47, bersama seorang lagi rakan kongsi mereka.
“Ada situasi tak setuju dan saya ambil keputusan untuk keluar. Ia berhubung ketidaksesuaian pendapat dan amalan perniagaan yang dilakukan,” katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, Afdlin enggan mengulas lebih terperinci ketika ditanya sama ada pengalaman dilalui membuatnya terkilan malah merenggangkan hubungannya dengan AC.
“Saya anggap tu rezeki dia. Saya teruskan dengan rancangan YouTube saya sendiri lepas tu. Dia pun tak ada telefon dan saya biarkan saja hal itu berlalu.
“Rezeki milik masing-masing, yang penting kita kena buat yang terbaik untuk diri sendiri. Saya tak nak cakap pasal ni lebih-lebih,” katanya.
Pemilik nama penuh Afdlin Shauki Aksan itu juga menjelaskan, seandainya ditakdirkan mereka bertembung di mana-mana, situasi itu tidak juga tidak akan mendatangkan sebarang masalah buat mereka.
“Kalau jumpa, tak ada masalah. Sebenarnya, tak ada perasaan marah pun.
"Masa adik saya meninggal dunia baru-baru ni, dia ada hadir dan bantu angkat jenazah cuma kami tak sempat bertegur pada waktu tu,” katanya.
Malaysiakini sudah cuba menghubungi AC bagi mendapatkan kenyataan.