Bagi komposer dan penyanyi rap Altimet, apa yang menyelamatkan dirinya daripada perkara seperti dadah dan arak adalah minat yang mendalam terhadap muzik.
"Ya dulu saya pergi kelab malam tetapi kalau kawan ajak minum (arak), saya tolak sebab nak dengar lagu. Kalau sudah mabuk kan tak dapat dengar lagu.
"Sebab muzik saya tak layan dadah, arak. Muzik hidup dalam diri saya sejak kanak-kanak, muzik adalah kawan saya sekarang," katanya ketika ditemui di sidang media pengumuman pementasan teater OlaBola The Musical di Pusat Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Teater itu membuka tirainya buat kali kedua sempena sempena sambutan Hari Kebangsaan bermula 31 Ogos ini.
Diberi nama Ola Bola Merdeka Tour, penerbit dan pengarah Tiara Jacquelina memaklumkan pementasan dibuat secara percuma di empat negeri iaitu Pulau Pinang, Pahang, Sarawak dan Sabah.
Selain Altimet, teater itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Nabila Huda, Iedil Putra, Brian Chan, Tony Eusoff dan Luqman Hafidz.
Mengulas perkembangan baru kerjayanya, penyanyi lagu Amboi itu berkata dia ingin mencabar diri dengan menulis lagu balada.
“Impian baru saya hendak tulis lagu balada sebab kalau masih menulis lagu rap cabaran sudah makin kurang.
“Sebelum orang nilai saya hanya duduk di zon selesa, saya nak cabar diri sendiri dahulu,” kata pemilik nama penuh Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad itu.
Sebelum membuat percubaan pertama, dia berkata akan menimba ilmu penulisan lagu genre itu terlebih dahulu.
Untuk menghasilkan lagu, katanya, semua pihak perlu bekerjasama dan penulis juga perlu menerima pendapat orang lain.
“Bila tulis lagu, kita tidak boleh ‘tuankan’ ego, kita kena ‘tuankan’ lagu, ego tu letak tepi.
“Kita (penulis lagu) perlu berbincang dengan komposer, penyanyi, beri kerjasama yang baik kerana bila ego diletakkan di depan karya,karya itu kelak akan berdepan kesukaran,” katanya lagi.