Stesen radio di negara ini wajar memberikan waktu - walau hanya beberapa saat - untuk memperkenalkan nama komposer dan penulis lirik sesebuah lagu sebagai menghargai kreativiti mereka.
Menurut komposer dan gitaris Bumi Putra Rockers (BPR) Awang, walaupun apa yang dibangkitkannya itu bukan baru, dia masih beranggapan isu berkenaan wajar diperjuangkan.
Katanya amalan menyebut nama pencipta lagu dan penulis lirik wajar diwajibkan oleh semua stesen radio.
Hal itu kerana, kata Awang, orang ramai perlu tahu di sebalik populariti sesebuah lagu, ada orang di sebalik tabir perlu dihargai dan diiktiraf.
"Peranan untuk memperkenalkan nama komposer dan penulis lirik ni tanggungjawab deejay radio. Mereka sepatutnya menyebut siapa pencipta sesebuah lagu itu, bukan setakat sebut nama penyanyi atau judul lagu saja," katanya.
Awang atau nama sebenarnya Norzaini Mohammad ditemui pada majlis pengumuman Konsert Malam Amal Kembara Seni di i-Cafe Bikerstation di Sungai Buloh semalam.
Konsert yang dijadual berlangsung pada 7 Sept ini bertujuan mempersembahkan lagu ciptaan Awang yang pernah mendapat tempat di hati peminat seni suara sejak 1980-an hingga sekarang.
Kembara cari rezeki
Antara artis yang bakal menjayakan persembahan itu ialah Shima yang akan menyampaikan lagu Luka Dilukai, Anuar Slash (Taman Astakona), Blank Gamma (Bahang Asmara) dan Awang sendiri.
Sebagai satu nama yang tidak asing lagi dalam seni suara, karya ciptaan Awang juga pernah dipopularkan nama-nama besar lain seperti To’Ki dan Rohana Jalil melalui Naluri Cinta, Aida Agil (Segalanya Pasti), dan Damasutra (Umpama Mimpi Dalam Mimpi).
Konsert itu juga akan mengutip sebanyak mungkin dana bagi mengurangkan beban penyanyi Shima yang menderita akibat masalah cakera teranjak (slipped disc) dan diberi status asnaf baru-baru ini.
Awang berkata, rasa kurang senang dengan sikap stesen radio mengabaikan nama komposer dan penulis lirik sesebuah lagu turut dikongsi rakannya yang lain.
"Alangkah bagusnya jika kami mendapat kerjasama daripada deejay radio mengenai perkara ni pada masa depan," katanya.
Pada masa sama Awang mengakui nasibnya masih sedikit baik kerana diberi peluang untuk mempromosikan lagu-lagu ciptaannya melalui program Kembara Seni yang akan diteruskan ke seluruh negara selepas berakhirnya konsert amal berkenaan.
"Mungkin belum ada lagi komposer yang persembahkan hasil karya dia pada umum melalui konsert dengan cara begini,” katanya
Siri jelajah itu merupakan laluan alternatif Awang untuk mendapatkan sumber rezeki selepas dia dinasihatkan doktor supaya tidak bekerja keras atas faktor kesihatan.
Untuk rekod, Awang pernah mengalami dua kali serangan jantung sebelum ini.
Katanya, beberapa lokasi sudah ditetapkan untuk menjayakan siri jelajah itu.
“Setakat ni dalam perancangan kami ialah untuk menjelajah ke tempat seperti Johor, Melaka, dan Klang,” katanya.