Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ultraman umum rancangan kembangkan pasaran niaga

Pemilik tunggal harta intelek Ultraman mengumumkan pengembangan jenama itu secara global melalui kerjasama rakan perniagaan yang bakal ditingkatkan bersama untuk wilayah Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Presiden Tsuburaya Productions Co Ltd (TPC), Masayuki Nagatake, berkata pihaknya bakal menghasilkan lebih banyak siri televisyen, terutamanya untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Katanya langkah secara besar-besaran itu diambil selepas TPC memenangi bidaan hak IP global jenama Ultraman pada 18 April tahun lalu.

“Kami merupakan pemegang hak eksklusif kepada jenama Ultraman.

“Oleh kerana penghakiman AS sangat dipercayai dan diiktiraf di seluruh dunia, kami berhasrat untuk meneruskan secara aktif dengan pengembangan jenama ini ke luar negara.

“Amat sukar untuk memperoleh keuntungan sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta. Inilah yang kami cuba maklumkan pada hari ini bahawa kami adalah pemegang harta intelek rasmi,” katanya.

Nagatake ditemui pada sidang media di sebuah hotel di Bandar Utama, Selangor hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Hak Cipta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Rashidah Ridha Sheikh Khalid, dan penasihat Dewan Perniagaan Digital Malaysia, Steven Eng.

Jaga potensi yang ada

Syarikat hiburan global Jepun itu berkata mereka memang merancang perkembangan merangkumi pelbagai platform media serta barang dagangan.

Pegawai Eksekutif Jabatan Perniagaan Antarabangsa TPC, Kei Minamitani, berkata syarikat itu menganggap perkembangan jenama terbabit dalam pasaran Asia adalah sama penting dengan di Barat.

“Bukan saja pasaran Barat yang kami cuba tembusi, pasaran Asia juga amat penting bagi kami.

“Pasaran Barat memang besar dan pada kebiasaannya ramai yang akan bertumpu di situ, tapi pasaran Asia juga amat penting, justeru, kami perlu menjaga potensi yang ada,” katanya.

Pada sidang media itu, sebagai sebahagian daripada rancangannya, TPC mengumumkan siri terbaru Ultraman, Ultraman R / B (Ultraman Rosso dan Ultraman Blu) yang akan disiarkan di Astro TV Ceria dan Astro First bermula 30 Ogos depan.

Selain itu, TPC baru-baru ini telah melancarkan satu siri baru berjudul Ultraman Taiga di Jepun yang boleh ditonton serentak di seluruh negara tahun depan.

Rancangan TPS seterusnya meliputi sebuah siri dalam talian iaitu Ultra Galaxy Fight yang menampilkan barisan Hero Generasi Baru Ultraman bertarung dengan League of Darkness! Ia akan disiarkan di saluran YouTube rasmi TPC bermula 29 September depan.

Selain itu, TPC juga mengumumkan bahawa penerbitan musim kedua Ultraman Netflix sedang berlangsung. Ia pertama kali disiarkan pada April tahun lalu, siri ini menjadi fenomena di seluruh dunia.

Sejajar dengan visi TPC untuk menghasilkan kandungan bagi peminat pelbagai kategori usia, syarikat tersebut menghasilkan Kaiju Step khusus untuk kanak-kanak prasekolah agar mereka teruja untuk mempelajari perkara baru. Ia dijangka disiarkan di rangkaian TV (NHK TV) pada penghujung tahun ini.

Paling menarik, Nagatake mengumumkan sebuah rangka penerbitan Shin Ultraman - filem asal Ultraman dicipta pada 1966 - sedang berlangsung.

“Tapi kami tak boleh dedahkan terlalu banyak kerana ia akan mempunyai banyak kejutan.

"Yang pasti, ia akan memaparkan idea-idea baru dan segar yang tak pernah dilihat sebelum ni,” katanya.

Untuk rekod, ia merupakan filem dengan bajet paling besar bakal ditayangkan dalam sejarah Ultraman Universe.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS