Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

"Dah macam shopping complex," kata Sukairi Shahri, seorang pelawat apabila melihat terlalu ramai orang yang datang ke Balai Seni Negara.

Sukairi datang dari Pekan, Pahang bersama Engku Kamalul Kholid, Abdul Aziz Mat Zin dan Abdul Ghafur untuk melihat sendiri pameran Leonardo da Vinci: Opera Omnia.

Pameran berkenaan memaparkan karya-karya pelukis terkenal itu yang dibuat hasil kerjasama Balai Seni Negara dan Kedutaan Itali.

Ia adalah lanjutan daripada pameran Caravaggio yang diadakan di tempat sama sebelum ini.

Pameran karya Leonardo da Vinci itu menarik ramai pelawat dengan hari cuti umum sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong baru-baru berjaya mencatat kedatangan hampir 7,000 pengunjung.

Pada hari-hari lain, purata pelawat yang singgah di Balai Seni Negara untuk melihat pameran tersebut sekitar 2,000 hingga 3,000 saja.

Karya-karya yang dipamerkan - meski pun adalah replika - adalah dalam saiz sebenar karya asal. Antara karya yang menjadi tumpuan adalah Mona Lisa dan juga The Last Supper.

Menurut Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Dr Najib Mohd Dawa, pameran berkenaan diadakan bagi tujuan pembelajaran kepada masyarakat.

Tak tahu wujudnya balai

Ia juga untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat dengan lebih dekat karya-karya agung da Vinci.

Mungkin kerana karya-karya yang dipamerkan itu ada kaitan dengan ajaran Kristian maka didapati banyak gereja di sekitar Kuala Lumpur mempromosikan Opera Omnia.

Ia juga secara tidak langsung membantu memperkenalkan Balai Seni Negara kepada orang ramai.

Semasa berada di sana, kami dapati ada pengunjung yang tidak sedar kewujudan Balai Seni Negara sehinggalah pameran itu diadakan.

Terdapat juga sebilangan pengunjung takut untuk ke Balai Seni Negara sebelum ini kerana menyangkakan mereka perlu mengikut protokol pakaian sepertimana ketika menghadiri mana-mana konsert di Dewan Filharmonik Petronas.

Usaha Balai Seni Negara membawa pameran Opera Omnia patut dipuji walaupun terdapat sedikit rungutan daripada beberapa pihak, terutamanya pelukis yang mempertikaikan kewajaran karya reproduksi dipamerkan.

Harus diingat, untuk membawa karya-karya asli da Vinci akan menelan kos yang terlalu tinggi.

Jika segala kos itu boleh diuruskan, mustahil untuk membawa Mona Lisa dan The Last Supper keluar dari Museum Lourve di Paris atas sebab-sebab keselamatan.

Mereka yang telah melihat lukisan asal da Vinci tidaklah sepatutnya membandingkan karya reproduksi yang dipamerkan itu dengan lukisan sebenar.

Bagaimanapun, kami berasakan karya-karya itu sepatutnya dibuat sebegitu rupa tanpa perlu disuluh dari belakang. Sorotan lampu dari dalam menjadikan karya tersebut seolah sebuah papan tanda berlampu.

Teknologi hari ini membolehkan satu-satu karya dicetak hingga hampir sama dengan karya asal.

Kami berharap hal ini akan diberikan perhatian untuk siri pameran yang sebegini pada masa depan.

Di samping pameran da Vinci, terdapat beberapa pameran lain yang sedang berlangsung di Balai Seni Negara.

Antaranya pameran Bakat Muda Sezaman, pameran Kemerdekaan dan - di dua ruang kreatif balai berkenaan - sedang berlangsung pameran Kali Ini Kita Bersama yang disertai karyawan wanita Malaysia, Thailand dan Singapura.

Di ruang legar bagunan pentadbiran pula berlangsung pameran solo pelukis Jayshree Ramasamy.

Satu tayangan filem kisah hidup da Vinci akan diadakan di auditorium Balai Seni Negara pada 3 dan 4 Ogos mulai jam 2 petang.

Tayangan film ini adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyair.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS