Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

WAWANCARA | Komposer dan pemuzik terkemuka Ahmad Nawab meluahkan kekecewaannya apabila anugerah Seniman Negara yang diperolehi pada 2006 dirasakan tidak membawa sebarang erti buatnya apabila beliau seakan-akan terus dilupakan.

Bagi Ahmad, menjadi kerugian besar buat negara ini apabila bakat, idea dan pengalaman yang ditimba tidak dicerap generasi terkemudian supaya ia memberi manfaat kepada dunia muzik tempatan.

"Saya terima anugerah doktor kehormat pada tahun 2000, kemudian dianugerahkan pula gelaran Seniman Negara pada 2006.

"Bagaimanapun, selepas menerima kedua-dua anugerah tersebut, sampai sekarang tak ada universiti menunjukkan minat sepatutnya mahu mendapatkan pengalaman dan nasihat saya.

“Begitu juga saya tidak diajak hadir dalam mana-mana persidangan berkaitan muzik di negara ini. Semua tak ada," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di kediamannya di Gombak baru-baru ini.

Ahmad atau nama penuhnya Ahmad Khan Nawab Khan menerima anugerah kehormat doktor falsafah (PhD) dalam bidang kesusasteraan oleh Universiti Putra Malaysia pada tahun 2000.

Beliau kemudian dianugerahkan gelaran Seniman Negara oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalulail kira-kira enam tahun kemudian sebagai menghargai sumbangan dan ketokohannya dalam dunia seni tanah air.

Tempat curah ilmu

Kata Ahmad, 86, beliau juga mengandaikan bakatnya sedang dipersiakan begitu saja apabila tiada penyanyi yang sudi merujuknya untuk mendapatkan pandangan sedangkan tiada sebarang kekangan wujud.

“Rumah saya sentiasa terbuka untuk sesiapa yang mahu berkunjung kalau nak minta pandangan atau idea berkaitan muzik.

“Demi memajukan dunia seni tanah air, saya sanggup memberi apa yang diminta tanpa mengenakan sebarang bayaran,” katanya.

Namun, bukan semua pihak ‘mengabaikan’ beliau.

Sebuah institusi pengajian tinggi awam pernah menawarkan tempat untuk Ahmad mencurahkan ilmunya.

Masalahnya, Ahmad agak keberatan kerana bayaran yang dijanjikan sama saja dengan pensyarah lain sedangkan beliau membawa gelaran Seniman Negara dan pernah dihargai dengan gelaran PhD.

“Institusi tersebut panggil mengajar, tapi bayaran mahu diberikan sama dengan orang lain, jadi kalau begitu, buat apa saya dianugerahkan gelaran Seniman Negara?" katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS