Logo Tahun Melawat Malaysia 2020 yang baru dirasmikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam tidak akan ditukar meskipun reka bentuknya mendapat kecaman ramai.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi berkata logo berkenaan dihasilkan oleh lulusan institusi pengajian tinggi dan memiliki ijazah rekaan grafik kelas pertama.
“Graduan ijazah kelas pertama tidak akan melakukan perbuatan tiru-meniru kerana dia tidak berminat memalukan dirinya sendiri.
“Hanya orang yang tidak pandai lukis akan meniru,” katanya dipetik BH Online hari ini.
Mohamaddin ditemui pemberita pada sidang media sempena pameran Leonardo Opera Omnia di Balai Seni Negara hari ini.
Semakan mendapati logo Tahun Melawat Malaysia 2020 yang dilancarkan itu menampilkan beberapa ikon penting negara seperti burung kenyalang, bunga raya, paku-pakis liar dan warna bendera Malaysia.
Namun, tidak lama selepas ia dilancarkan logo itu mendapat kecaman banyak pihak, termasuk didakwa menggunakan bahasa Inggeris yang mengelirukan.
Mohamaddin berkata, penggunaan bahasa Inggeris dalam logo berkenaan adalah betul dan akan dianggap salah hanya jika seseorang tidak mendalami bahasa itu.