Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ya Allah, kata Aishah tengok aksi Vida
Diterbitkan:  Jul 19, 2019 2:26 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Aishah sekadar mengucapkan Ya Allah, Ya Allah… selepas menyaksikan tindakan pengusaha kosmetik Vida terhadap salah satu berlian yang dituntutnya hasil mediasi kedua-dua pihak bagi menyelesaikan kes mahkamah mereka.

Kata Aishah, dia hanya mampu menyebut kalimah Allah tanpa henti sebaik menonton sendiri rakaman klip video memaparkan Muhammad Eric Zaquan, 12, atau dikenali Kacak hampir menelan berlian tersebut semasa sesi bersama wartawan kelmarin.

“Hanya boleh menyebut 'Ya Allah..Ya Allah...Ya Allah... tak henti-henti.

“Bagi yang tak tahu, yang disumbat dalam mulut anaknya tu adalah salah satu hadiah berlian yang sepatutnya diserahkan kepada saya mengikut terma penyelesaian kes ini,” katanya melalui Instagram.

Aishah turut mengiringi video tersebut dengan tanda pagar #moneycannotbuyclass yang bermaksud wang tidak boleh membeli taraf seseorang.

Dalam sesi media pada 17 Julai lalu, Vida mengumumkan Aishah telah memilih lima barang kemas termasuk dua butir berlian, kesemuanya berjumlah RM80,000.

Terkenal kerana gelagatnya yang sering mencetuskan ‘drama,’ Vida tidak ketinggalan mempamerkan aksi tersendiri seperti memasukkan dua berlian tersebut yang nilainya berjumlah RM40,020 ke dalam balang makanan ringan.

Dia kemudian membuat aksi seolah-olah mahu menyuap satu daripada barang berharga itu ke dalam mulut.

Semalam, Malaysiakini menyiarkan penyanyi AIshah yang terkenal dengan lagu Dari Mata Sedih ingin membincangkan perbuatan dilakukan Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman itu dengan peguamnya.

“Saya akan berbincang dengan peguam,” katanya.

Untuk nota, Aishah juga memaklumkan kepada Malaysiakini dia sudah menerima kesemua barang kemas dan berlian berjumlah RM80,000 tersebut.

“Ya saya baru terima petang semalam,” katanya.

Kemelut antara Aishah dan Vida bermula selepas penyanyi Harapan Kecewa itu mendapati kualiti barang kemas dimenangi selepas bergelar Juara program Gegar Vaganza 4 tidak menyamai nilai RM80,000 seperti diuar-uarkan.

Sementara itu, seorang pengguna akaun @asmidas berkata, dia sudah lama tidak mengikuti perkembangan Vida kerana tidak menyenangi sikap pengusaha kosmetik itu sebagai seorang ibu.

“Lama dah perhati tingkah laku dia yang sangat tak matang. Saya sudah sekat semua akaun media sosial Vida dan anak-anak sebab nak elak tengok aktiviti karut, tidak berakhlak mereka terutama ibunya itu,” katanya.

Manakala pengguna akaun @fazrinabustami mengharapkan Aishah berhenti memuat naik kenyataan yang boleh mencetuskan perbalahan.

“Mungkin boleh hentikan posting macam ni, lagi banyak komen berbaur tak elok (akan) memanjangkan situasi, saya doakan yang baik buat kedua-dua pihak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS