Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Tidak menganggap tindakannya sebagai tunduk kepada tekanan, usahawan kosmetik, Hasmiza Othman - atau lebih popular dengan nama Vida - berkata dia menurutkan kehendak Aishah demi memuaskan hati penyanyi itu.

Kata Vida, dia komited mahu menyelesaikan kemelut berpanjangan dengan penyanyi Janji Manismu itu.

Justeru, katanya, sebagai seorang yang bertanggungjawab dia berbesar hati memenuhi tuntutan Aishah walaupun sebenarnya kurang senang dengan pemilihan barang kemas - bernilai RM80,000 - oleh penyanyi terbabit.

"Cara terbaik (untuk selesaikan isu berpanjangan), saya bagi pilihan kepada Aishah untuk memilih sendiri barang kemas yang dia ingin dan kepinginkan.

"Keinginan asal saya ialah memberikan sesuatu yang akan menggembirakan Aishah sebagai Juara Gegar Vaganza 4 (GV4), tetapi (apa yang dilakukan hari) ini tak bermaksud kita takut, bukan menyerah sekali-kali," katanya.

Vida ditemui pada sidang media khas diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor hari ini. Hadir sama dua peguamnya, Zailan Mohamed dan Adnan Senan @ Abdullah.

Bagaimanapun, Aishah atau wakilnya tidak kelihatan pada sidang media tersebut.

Vida memberitahu, wakilnya dijangka menyerahkan barang kemas itu kepada Aishah - seperti yang dipersetujui dalam sesi mediasi yang berlangsung 1 Julai lalu - selepas sidang media berakhir.

Persengketaan antara Vida dan Aishah tercetus apabila penyanyi itu membuat pendedahan mengenai nilai hadiah rantai RM80,000 yang ditaja usahawan kosmetik tersebut tidak seperti yang diuar-uarkan pada GV4 September tahun lalu.

Aishah dan Vida kemudian berjaya menyelesaikan saman berkenaan di luar mahkamah dengan penyanyi terbabit menetapkan tiga syarat.

Syarat itu ialah, penyanyi Kemaafan Dendam Yang Terindah terbabit dibenarkan memilih mana-mana barang kemas yang diingini asalkan harga pamerannya berjumlah RM80,000.

Selain itu, Vida perlu membuat permohonan maaf kepada Aishah dan menyebutnya secara spesifik melalui sidang media khas. Kedua-dua syarat berkenaan mesti dilunaskan selewat-lewatnya hari ini.

Vida juga perlu membayar kos guaman sebanyak RM7,500 kepada peguam Aishah pada atau sebelum 7 Julai.

Permohonan maaf melalui sidang media itu dilakukan Vida di Ipoh, Perak pada 6 Julai lalu.

Pada sidang media hari ini, Vida juga mengumumkan Aishah memilih lima barang kemas dan berlian yang semuanya bernilai RM80,000.

"Barang tersebut adalah sebentuk berlian satu karat bernilai RM27,100 dan satu seberlian 0.70 karat bernilai RM12,920.

"Barang kemas lain adalah satu cincin emas kuning 18 karat disaluti berlian bernilai RM20,820, cincin emas putih 18 karat (RM11,410) dan emas putih disaluti berlian (RM7,750).

“Jumlah kesemua barangan ini adalah RM80,000 dan dibayar anak saya iaitu Cik B (Nur Edlyn Zamilleen) hasil jualan produk diusahakannya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS