Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Erra: Suratan takdir tiada jodoh dengan Shahir
Diterbitkan:  Jul 13, 2019 9:52 PM
Dikemaskini: 1:52 PM

Beranggapan sudah tertulis tiada jodoh antara mereka, pelakon dan penyanyi Erra Fazira tidak mahu menanam prasangka bahawa bekas kekasihnya hanya menabur janji palsu.

Menurut Erra, dia menerima takdir ditentukan antaranya dengan Shahir Zawawi, malah mengaku sudah meneruskan kehidupan walaupun masih berkawan dengan bekas juara Akademi Fantasia ke-8 itu.

“Saya dan Shahir sudah 'move on'. Dia dengan kehidupannya, saya pula dengan perancangan hidup saya.

“Bagaimanapun, kami masih berkawan, cuma tiada hubungan istimewa. Kami juga tidak bergaduh atau bersengketa biarpun hubungan tidak sampai ke jenjang pelamin,” katanya.

Namun, bintang yang dijolok gelaran Primadona Alaf Baru itu tidak menafikan, sebagai seorang wanita, hatinya tetap berbunga-bunga apabila diberikan sebarang harapan soal jodoh.

“Sebelum ini, saya tidak pernah meletakkan harapan biarpun Shahir selalu sahaja membuka mulut mahu meminang dan melamar saya sebagai isteri.

“Selagi janji tidak berpateri, saya anggap semua itu masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.

“Sebagai wanita, bohonglah jika hati tidak berbunga-bunga apabila diberikan harapan, tetapi lama kelamaan kematangan mengatasi segala-galanya. Sampai bila mahu menunggu?" katanya.

Semalam, pelakon berkenaan mengumumkan hubungan cintanya dengan Shahir, 30, sudah terlerai, sejak enam bulan lalu.

Erra, 45, berkata, dia tidak pernah menyalahkan penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu kerana tidak mengotakan janjinya.

"Saya juga tidak boleh nak menyalahkan Shahir. Saya percaya, jodoh dan pertemuan adalah aturan Allah. Sememangnya kami hanya ditakdirkan berkawan, bukannya menjadi suami isteri.

“Saya kenal Shahir... Dia selalu meluahkan hasrat mahu berkahwin dengan saya,” katanya dipetik BH Online.

Bagaimanapun, kata pelakon filem Sembilu itu, jika berniat untuk berkahwin, seseorang itu harus berusaha merealisasikan hasrat berkenaan.

“Bukan tahu bercakap sahaja. Jelas, sasarannya tidak tiba ke penghujung.

“Saya pula tidak suka mengharapkan perkara yang tidak pasti. Jadi lebih baik kami lupakan sahaja," katanya.

Pada masa sama, Erra mengaku dia tidak berasa kecewa, malah berkata, mungkin akan ada jodoh lebih baik dan lebih serasi buat mereka berdua.

"Jujurnya, saya tidak kecewa kerana saya percayakan aturan Allah. Jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan insan lain, Alhamdulillah.

“Jika tiada, saya reda kerana itulah perancangan Allah buat saya,” katanya yang bakal ke Makkah bagi menunaikan ibadat haji, bulan depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS