Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Aku mintak ampun, mintak maaf Min...'
Diterbitkan:  Jun 14, 2019 3:14 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Mengambil berkat Syawal, bekas pengacara popular Azwan Ali atau Diva AA mengaku dia ingin merapatkan semula silaturrahim dengan abangnya, Azmin, yang sekian lama menjadi seterunya.

Justeru, Azwan tanpa segan-silu tampil memohon maaf atas kesalahan yang pernah dilakukan terhadap abangnya yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

“Di hari baik bulan baik ini kenapa tidak untuk berbaik dengan dia?

"Kalau dia baca artikel ni, saya nak cakap; Min selama ini aku banyak buat salah, buat dosa pada kau. Aku minta maaf, minta ampun pada kau Min,” katanya.

Selebriti berusia 53 tahun itu berkata, hatinya terdetik untuk berbaik semula dengan Azmin selepas ramai peminat mula bertanyakan status hubungan mereka sebagai adik-beradik menjelang Aidilfitri lalu.

“Peminat-peminat ada tanya saya: tak nak berbaik ke dengan Azmin sempena hari raya kali ni. Banyak kali juga mereka tanya sampailah sekarang,” katanya seperti dipetik sebuah portal hari ini.

Hubungan Azwan dengan Azmin diketahui umum tegang beberapa kali susulan beberapa serangan peribadi dicetuskan ke atas abangnya itu.

Ibarat air kena cincang

Azwan yang berhijrah ke London ketika ini berkata, dia ingin berdamai dengan anggota Parlimen Gombak berkenaan bukan semata-mata kerana sudah menjadi menteri tetapi kerana terkenangkan didikan arwah ibu bapa mereka.

“Saya akui sebelum ini saya begitu keras hati, tapi orang tak tahu apa dilalui kami adik-beradik kerana ia hal peribadi dan keluarga. Mungkin ada hikmah di sebaliknya.

“Saya akui banyak berbuat dosa dengan dia. Sebagai adik saya kena beralah dan memohon maaf padanya,” katanya.

Azwan juga berharap permohonan maaf itu tidak disalahertikan mana-mana pihak, dan disambut baik oleh abangnya.


Baca Sharnaaz rayu pengundi menangkan Azwan Ali


“Hasrat saya untuk berbaik bukan atas sebab politik, tapi kerelaan saya sendiri.

“Sebab saya fikir, sampai bila nak berakhir begini, walaupun kami berbeza pendapat, ibarat air dicincang takkan putus,” katanya yang bersedia untuk bersemuka sekiranya diberi peluang untuk bermaaf-maafan.

Terdahulu, Azwan mendakwa ada pihak cuba mengajaknya berkomplot untuk menjatuhkan abangnya itu susulan kontroversi membabitkan sebuah klip video memaparkan dua lelaki melakukan seks. 

Seorang daripada lelaki itu didakwa sebagai Azmin manakala pasangannya yang membuat pengakuan bersumpah terlibat dalam aksi seks itu adalah Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Haziq merupakan setiausaha sulit kanan Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin dan juga ketua pemuda bahagian Santubong.

Azmin bagaimanapun menafikan segala dakwaan dan sebaliknya mendakwa kontroversi itu dilakukan untuk memusnahkan karier politik beliau. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS