Suatu petang 9 Okt 2012.
Seorang anak gadis 15 tahun bersama tiga guru dan 20 rakan pelajar dalam perjalanan pulang dari sekolah. Mereka baru saja menyudahkan peperiksaan.
Tiba-tiba seorang lelaki berjambang muncul di jalan. Dia menahan bas yang dinaiki mereka agar berhenti.
Lelaki itu mendesah menanyakan susuk bernama Malala Yousafzai. Tidak ada siapa yang mengendahkan kecuali beberapa orang pelajar yang menoleh memandang ke wajah remaja yang tak berburqa itu.
Lelaki terbabit pantas mengeluarkan pistol dari dalam pakaiannya dan melepaskan tiga das tembakan. Satu daripadanya menemusi kulit di sebelah mata kiri Malala dan berterusan menerobos tengkorak dan menjalar hingga ke telinga.
Dua tembakan lagi tidak terkena Malala kerana ia memang bukan disasarkan kepada dia, sebaliknya untuk pelajar lain yang ada dalam bas berkenaan.
Malala parah. Dia dikejarkan ke hospital dan menghabiskan masa enam hari di situ sebelum dirawat lanjut selama hampir tiga bulan - dengan melalui siri pembedahan dan rawatan rapi - di Hospital Quenn Elizebeth di Birmingham.
Dia terbaring di sebuah tempat yang terletak jauh dari negara asalnya - Pakistan.
Kata Malala: “Saya sangat kerap membayangkan kejadian tersebut dengan jelas dalam fikiran. Walaupun mereka datang untuk membunuh saya, saya akan memberitahu mereka bahawa apa yang mereka cuba lakukan adalah tidak benar. Pendidikan itu adalah hak asasi kita.”
Datang dari syaitan
Malala yang hidup di kawasan pedalaman Pakistan mahu dibunuh kerana impiannya. Kerana dia gadis yang hidup di situ, kumpulan Taliban mahu menafikan haknya untuk mendapat ilmu pengetahuan ketika dia tahu pendidikan sangat penting untuk mengubah kehidupan.
Adnan Rasheed - seorang komandan Taliban - menjelaskan bahawa Malala dibenci bukan kerana dia mahu ke sekolah atau memperjuangkan haknya untuk mendapatkan pelajaran.
Kata Adnan, Malala dianggap berpotensi "mengancam" doktrin, pengaruh, kedudukan dan penguasaan Taliban di beberapa tempat di Pakistan.
Taliban percaya model pendidikan Barat yang dipelajari dan dipromosikan Malala adalah korikulum sekular yang sumbernya datang daripada syaitan.
Di Malaysia, label-label seperti sekular atau liberal justeru dianggap sebagai suatu ancaman. Ia dibeberkan dari mulut ramai penceramah berstatus agamawan.
Ia disurahkan dari atas pentas politik sampailah ke kuliah-kuliah di masjid. Di mata mereka ungkapan "liberal" dan "sekular" itu adalah ciptaan syaitan dan antituhan.
Penyemaian benih-benih fahaman sebegitu memang banyak miripnya dengan apa yang ada dalam kepala Taliban.
Mulut membawa pencemaran
Pernah PAS - pada muktamar mereka yang ke-61 dulu - mengisytiharkan program mereka itu sebagai medan pembersihan semua anggota yang dianggap sekular.
Puncanya, kumpulan terbabit dimusuhi kerana mereka enggan menerima dasar PAS bulat-bulat.
Baru-baru ini sewaktu umat Islam sedang siap menggandakan ibadah mereka sempena berada di pertengahan Ramadan, muncul pula seorang ulama parti dengan bangga memberikan 'firman' dan fatwa bahawa ahli politik bukan Islam yang dimusuhinya sekarang giat berlakon untuk mengelirukan orang ramai.
Dan - kata ulama itu - sudah ada "beberapa ketul hati" yang terpedaya dengan mengangkat orang bukan Islam sebagai wakil rakyat mereka.
Bukan baru sekali ini parti politik yang mengaku paling Islam dan pengamal politik paling matang itu bahkan bersikap keanak-anakan.
Malah sudah ada banyak kerosakan dan bermacam lancang mulut pimpinan mereka menghamburkan pencemaran.
Politik prejudis kaum dan ras dengan mengeksklusifkan agama dalam politik kepartian yang diamalkan boleh jadi tidak salah, tetapi itu tidak bermakna mereka berada di pihak paling benar.
Pada 2008 ada sebuah filem berjudul The Stoning of Soraya M yang secara mendadak menimbulkan kekecohan.
Filem itu bukan saja meresahkan banyak kumpulan Islam dan ramai agamawan, malah parti-parti politik dan kerajaan.
Kecaman yang diterimanya mengakibatkan filem tersebut berhadapan dengan siri pengharaman di beberapa negara seperti Pakistan dan Iran.
Benar yang dipersoalkan
Sebelum The Stoning of Soraya M menjadi filem yang menggentarkan, ia terlebih dulu menghantui diri pengarahnya, Cyrus Nowrasteh, selama bertahun-tahun.
Filem yang berdasarkan buku tulisan seorang wartawan bernama Freidoune Sahebjam itu menceritakan tentang pengalaman sebenar Soraya yang dituduh berzina di sebuah kampung di pedalaman Iran.
Kisah pengalaman sadis Soraya yang berlaku pada 1986 itu bermula daripada tindakan suaminya, Ali, yang tidak setia. Ali ialah pegawai penjara yang berkeinginan mengahwini seorang remaja 14 tahun.
Namun untuk mencapai impiannya itu Ali mesti mendapatkan persetujuan cerai daripada Soraya kerana dia memang tidak mampu untuk berpoligami.
Permintaan itu ditolak Soraya yang khuatir dengan ancaman kemiskinan untuk membesarkan dua anak mereka selain kecaman yang bakal dilemparkan masyarakat selepas penceraian.
Dari situlah Ali berkomplot dengan mullah dan pemimpin masyarakat untuk mengalahkan keadilan tuhan. Konspirasi mereka berjalan sehingga menyebabkan Soraya direjam tanpa rasa belas tanpa mendapat pengadilan secara benar dan wajar.
Ketakutan terbesar dalam filem ini adalah apabila pengalaman sadis Soraya - yang ditanam separuh badan lalu direjam oleh suami, anak, keluarga, teman dan seluruh penduduk kampung itu - digambarkan dengan visual yang cukup mengerikan.
Ketakutan dan simpati terhadap Soraya yang tidak bersalah itu digabungankan dengan bermacam beban sosiobudaya yang disilangkaitkan dengan syariat ritual Islam, tradisi puak, fundimentalisme undang-undang dan penghukuman serta patriaki yang ada dalam mental masyarakat.
The Stoning of Soraya M membuktikan bahawa kebenaran yang diturun dan didatangkan tuhan pun belum tentu dapat jadi 'benar' dan bebas daripada penyelewengan di tangan manusia tertentu.
Saban tahun berjuta-juta umat Islam menderita setiap hari kerana Islam disalahgunakan sebagai alat politik kepartian yang menunggang-terbalikkan hukum dan perkataan tuhan.
Ia berlaku sehingga Islam nampak begitu sempit, terbatas, saling menganjurkan prejudis dan mengajarkan kebencian sebagaimana tunjukkan parti tertentu.
Apa yang berlaku pada Malala dan Soraya tentu saja boleh berlaku pada kita sekiranya kita tidak pandai menilai apa sebenarnya Islam, kebenaran dan keadilan.
HARIS HAUZAH seorang penulis skrip dan anggota sidang utama Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.