Kumpulan nasyid, Raihan memanjatkan rasa syukur apabila lagu Sesungguhnya2019 yang dirakam semula bersama penyanyi popular, Aliff Satar mendapat respons positif peminat bukan Islam.
Menurut Che Amran Idris selaku ketua kumpulan tersebut, lagu itu sememangnya mempunyai elemen yang boleh menghiburkan semua pendengar termasuk orang bukan Islam.
“Lagu ini, ia ada elemen tersendiri yang buat mereka (orang bukan Islam) senang mendengarnya.
“Sesungguhnya2019 jika dilihat ada pembawakan rohani yang tidak terlalu mendalam, jadi masyarakat senang faham dengan mesej lagu itu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Sesungguhnya merupakan salah satu lagu daripada album pertama Raihan, Pujian-pujian yang diterbitkan pada tahun 1997.
Pada masa masa itu, kumpulan ini mencipta fenomena tersendiri dalam industri nasyid apabila album mereka terjual melebihi 750,000 unit di pasaran.
Sejak dikongsi di YouTube pada 9 Mei lalu, lagu Sesungguhnya2019 sudah mencecah hampir 4 juta tontonan, malah pernah menduduki tempat pertama di carta laman tersebut.
Menariknya, Sesungguhnya2019 bukan hanya disambut baik peminat beragama Islam, malah turut mencuri perhatian peminat bukan Muslim.
Antaranya Augustine Austine yang berkata: Saya bukan Muslim tapi saya sangat suka lagu ini).
Sazynrash pula menerusi komennya berkata : "Saya bukan Islam, seperti selalu saya suka lagu mereka. Sekarang kombinasi mereka gempak".
Manakala Farl Jay pula menyatakan: "Saya membesar dengan lagu-lagu nasyid walaupun saya Kristian. Alhamdulillah selamat bertunang dengan gadis Melayu Perak. Tak lama lagi nikah".
Namun begitu, kumpulan yang turut popular dengan lagu seperti Iman Mutiara itu menjelaskan respons positif dari peminat bukan Islam bukan perkara baru bagi mereka.
“Situasi sebegini bukan benda baru untuk kami (Raihan) kerana lagu terdahulu juga mendapat respons baik dari golongan orang bukan Islam.
“Ada juga yang ambil lagu kami (Raihan) sebagai satu garis panduan untuk bersyahadah,” katanya.
Tarik minat golongan muda
Tambah Che Amran, usaha berkolaborasi bersama artis baru adalah satu cara yang dibawa Raihan bagi masyarakat kembali meminati lagu nasyid.
“Kami sendiri meminta untuk bergabung dengan artis baru seperti Aliff Satar kerana mereka (artis baru) ini ada peminat sendiri dari media sosial. Artis lama kurang pendedahan itu.
“Artis baru ini boleh bantu menarik minat orang muda dengar lagu nasyid dan jadikan lagu sebegitu kembali popular,” katanya.
Untuk rekod, Raihan kini dianggotai Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim selepas seorang lagi anggota mereka, Azahari Ahmad meninggal dunia pada akhir September 2001.
Vokalis utama mereka, Nazrey Johani mengundur diri dari Raihan sejak tahun 2006.
Di media sosial baru-baru ini peminat mencadangkan agar Nazrey kembali bersama kumpulan itu.
Cadangan itu disambut baik Nazrey namun katanya ia bergantung kepada persetujuan ahli Raihan yang lain.
Sementara itu, Che Amran ketika ditanya mengenai perkara itu enggan mengulas lanjut.