Pelakon Adam Corrie berkata dia berazam untuk meneruskan program Himpunan Artis Sayang al-Quran (Hasa 4.0) bagi memupuk minat mendalami al-Quran di kalangan artis tanah air.
Pemilik nama penuh Adam Corrie Lee Abdullah, 51 itu berkata, program berkenaan diilhamkan lantaran wujud persepsi bahawa ramai artis di negara ini kurang mendalami ilmu agama.
"Ramai kata golongan artis ini tiada ilmu dan saya tidak mahu benda ini berlaku.
"Saya pun tiada ilmu tetapi saya belajar dan saya harap artis lain juga berbuat sedemikian,” katanya ketika ditemui pada program Hasa 4.0 di Istana Budaya , Kuala Lumpur hari ini.
Hasa 4.0 yang dianjurkan sejak empat tahun lalu merupakan ilham seorang penceramah bebas, Ustaz Zul Ramli bersama Pertubuhan Usrah Fitrah Malaysia (UF).
Program itu memaparkan pelbagai aktiviti seperti bual bicara bersama penceramah bebas dan persembahan keagamaan dari artis tempatan.
Atur cara yang bermula jam 3 petang hari ini dimulakan dengan bual bicara bersama beberapa ahli panel iaitu Zul Ramli selaku penaung Hasa, Rusydi Ramli Al Jauhari dan Syed Abdul Kadir Al Joofre sebagai penasihat Usrah Fitrah.
Shamsul Azahar Aliddin atau lebih dikenali sebagai Shamsul Ghau-Ghau pula menjadi moderator bagi bual bicara tersebut.
Antara artis dan selebriti yang hadir ialah Erra Fazira, Raja Azura, Rozita Che Wan, Zarul, Johan Asaari dan Nora.
Mengulas lanjut, Adam berkata dia berharap program itu dapat mengumpul bekalan ilmu agama buat golongan artis.
“Selagi saya mampu dan tulang empat kerat masih ada, saya akan teruskan program (Hasa) ini," katanya yang memeluk agama Islam sejak 2007.