Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Rita Rudaini mahu bantu realisasi impian kanak-kanak jadi pemain bola

Selepas menubuhkan kelab bola sepak kanak-kanak, kini pelakon Rita Rudaini melangkah lebih jauh apabila bakal menerbitkan program realiti TV mencari bakat baru untuk sukan itu.

Kata Rita, dia mahu mencari pelapis muda bertujuan membantu kanak-kanak tidak berkemampuan dalam merealisasikan impian mereka untuk bergelar pemain bola sepak profesional suatu hari nanti.

“Program yang menyasarkan kanak-kanak berusia dari enam hingga 12 tahun itu memberi peluang pada mereka yang tidak berkemampuan.

“Sayang apabila kanak-kanak macam ni ada bakat tapi tak ada peluang belajar bermain bola sepak,” katanya.

Pemilik nama penuh Rita Rudaini Mokhtar itu ditemui pada sidang media pengumuman kejohanan RR Junior Cup 2019 di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, dia juga telah bertemu empat mata dengan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith dalam usaha menggerakkan hasratnya itu.

“Kira-kira dua minggu lalu, saya telah mengadakan perbincangan bersama menteri di kementerian berkaitan dan membentangkan kertas kerja.

“Kementerian memberi maklum balas amat baik setakat ini,” katanya.

Rita, 43, berkata, sekiranya berjaya dilaksanakan kelak, dia bercadang untuk mengadakan kolaborasi bersama kelab bola sepak luar sama ada rakan serantau atau kelab di Eropah.

Dalam perkembangan berkaitan, kejohanan RR Junior Cup 2019 dijangka berlangsung pada 20 dan 21 Julai depan di Arena Bola Sepak Eco Ardence Setia Alam, Shah Alam di Selangor.

Rita, pengasas merangkap presiden, RR Cougars FF itu berkata, kali ini kejohanan itu sudah memasuki tahun kedua penganjuran.

Menurut pelakon telefilem Penjaga Garisan Itu Suami Aku, untuk tahun ini, mereka sudah menerima beberapa penyertaan dari luar negara.

“Pertandingan berkenaan dibuka kepada tiga kategori iaitu bawah lapan tahun, 10 dan 12.

"Pada tahun ini kami juga menjangkakan penyertaan kelab bola sepak luar dari Korea dan Jepun.

“Kelab tempatan yang telah mengesahkan penyertaan antaranya dari Pahang dan Melaka," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS