Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Walaupun keanggotaan kumpulan Raihan ada pasang surutnya, penyanyi Alif Satar mengaku dia tetap teruja apabila impiannya berduet dengan kumpulan nasyid popular itu tercapai.

Alif berkata, dalam keadaan Raihan bukan lagi seperti suatu ketika dulu, hal itu tidak sedikitpun melemahkan semangatnya. Sementelah Raihan menjadi kumpulan yang diminatinya sejak dia berusia tujuh tahun.

“Saya minat Raihan as a whole band (secara keseluruhan). Saya membesar dengan mendengar lagu mereka, jadi peluang ini membuatkan saya sangat teruja.

“Mereka pernah buat jelajah lebih 20 buah negara, malah antara kumpulan yang ada album paling laris di Malaysia,” katanya yang ditemui pada sebuah pelancaran portal baru-baru ini.

Untuk rekod, Raihan kini dianggotai Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim. Salah seorang anggota mereka, Azahari Ahmad, meninggal dunia akhir Sept 2001.

Vokalis utama mereka, Nazrey Johani, tidak lagi bersama Raihan.

Mengulas bagaimana Alif berjaya meraih peluang keemasan berkenaan, penyanyi lagu Akhiri Penantianku itu berkata, kerjasama mereka bermula selepas pelawaan spontan yang dibuatnya.

“Disember lalu, saya berduet dengan Raihan dalam program Bintang Minggu Ini. Lepas tu saja-saja saya cakap, kenapa tidak kita rakamkan lagu Sesungguhnya tu sekali lagi.

“Alhamdulullah, Raihan serta-merta jawab ya dan kami pun beri nafas baru pada lagu tu,” katanya.

Lagu tersebut yang diterbitkan sekitar 2007 itu kini diberi judul Sesungguhnya 19. Ia dirakam pada 15 April lalu dan bakal dilancarkan 10 Mei ini sempena Ramadan.

Alif, 28, juga berkata pelbagai perasaan lain timbul sewaktu dia merakamkan lagu tersebut walaupun ia dibuat secara berasingan daripada Raihan.

“Masa rekod tu saya jadi sangat beremosional terutama apabila Raihan pula rakam depan mata.

“Kalau mak ayah saya dengar lagu ni nanti, mereka pasti berbangga, sebab tahu saya minat Raihan sejak kecil dan dapat pula rakam versi sendiri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS