Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sajat nafi taja pertandingan ratu cantik transgender

Usahawan produk kecantikan Nur Sajat sudah bersedia sekiranya 'tentera bawang' hendak menyerangnya selepas menjadi penaja pertandingan ratu cantik Miss Grand Malaysia 2019.

Sedia maklum dengan isu jantina yang sering menghimpitnya, Nur Sajat sebaliknya berkata, isu transgender tidak sepatutnya timbul untuk program yang mendapat tajaannya itu.

Dia turut menegaskan pertandingan ratu cantik - yang bakal berlangsung di Miri, Sarawak pada 21 hingga 28 April ini - semunya terdiri daripada peserta wanita.

“Tak ada isu transgender dan tak mungkin orang akan kaitkan langsung dengan Miss Grand Malaysia.

“Segala maklumat awal dikongsi mengenai pertandingan ini juga sudah menjelaskan bahawa calon yang menyertainya terdiri daripada golongan yang 100 peratus wanita,” katanya kepada Malaysiakini.

Nur Sajat ditemui pada majlis Miss Grand Malaysia 2019 di Kuala Lumpur malam tadi.

Penyanyi Makhluk Penggoda itu juga berkata, dia sememangnya sudah lali apabila setiap perkara dilakukannya mengundang perhatian umum.

Angkat martabat wanita

“Yang nak membawang, teruskan membawang, kerana saya hanya bertindak sebagai penaja saja.

“Kalau mereka tetap rasa ada transgender, terpulang, kita tak boleh halang tapi yang pasti pertandingan ni memang untuk wanita,” katanya.

Seramai 24 finalis bakal berentap gelaran Miss Grand Malaysia 2019 dan berpeluang mewakili negara pada acara tahunan Miss Grand International di Venezuela pada Oktober depan.

Ia diadakan dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sarawak sempena Tahun Melawat Sarawak 2019.

Untuk rekod, pemegang gelaran Miss Grand Malaysia tahun lalu disandang oleh Debra Jeannie Poh.

Kata Nur Sajat, tujuan dia tampil sebagai penaja disebabkan menyedari kurangnya pembiaya yang ingin menghulurkan dana bagi pertandingan yang dianggapnya boleh mengubah nasib kaum wanita.

Untuk itu katanya dia melaburkan sejumlah wang - yang tidak didedahkan nilainya secara khusus - untuk menaja pertandingan tersebut.

“Nilainya cecah ratusan ribu,” katanya.

Nur Sajat berkata, tujuan dia tampil sebagai penaja kerana ingin membantu mengubah nasib wanita tempatan selain menaikkan nama negara di persada antarabangsa.

“Wanita di Malaysia memang cantik cuma saya berasakan organisasi yang mengetengahkan bakat ratu cantik seperti ini masih kekurangan sesuatu.

“Justeru, saya ambil insiatif untuk menjadi penaja Miss Grand Malaysia 2019

“Secara tidak langsung saya boleh membantu mengangkat martabat wanita di sini terutama selepas melihat negara seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan Kemboja pun mampu hantar wakil ratu cantik berkualiti tahun demi tahun,” katanya.

Selain itu, kata Sajat, dia berminat untuk membabitkan diri dalam bidang tersebut kerana sejak kecil amat mengagumi seorang aktres yang satu ketika dulu pernah memenangi gelaran ratu cantik.

“Saya sebenarnya suka bidang ratu cantik sejak zaman Erra Fazira,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS