Untuk berdepan saman ke atas syarikatnya, usahawan kecantikan Nur Sajat Kamaruzzaman sudah bersedia dengan dua peguam sebagai wakilnya di mahkamah.
Seorang daripada peguam itu ialah Siti Kasim manakala yang kedua ialah Ajeet Kaur.
Memberitahu Malaysiakini Ajeet berkata saman ke atas Nur Sajat Aesthetic Sdn Bhd (Nur Sajat Aesthetic) itu difailkan dua individu iaitu bekas stokis, Mohamed Syakir Hussin, dan bekas pekerja syarikat terbabit, Nurwati Hussin.
"Dalam tindakan ini Nur Sajat Aesthetic telah memfailkan pembelaan dan tuntutan balas terhadap Syakir dan Nurwati atas kerugian dan kehilangan yang dialami akibat salah laku oleh mereka.
"Tindakan ini belum didengar atas meritnya lagi," katanya.
Menurut Ajeet lagi, pada 5 Okt tahun lalu hakim mahkamah sesyen Shah Alam menolak permohonan Syakir dan Nurwati untuk membatalkan tuntutan balas Nur Sajat Aesthetic dengan kos RM3,000 yang dibayar mereka kepada syarikat Nur Sajat.
Pada tarikh sama, katanya, hakim itu membenarkan permohonan Nur Sajat Aesthetic untuk penzahiran dokumen-dokumen dengan Syakir, Nurwati dan OWA Resources diarahkan untuk membekalkan penyata-penyata bank.
"Pihak Nur Sajat Aesthetic tidak akan memberikan komen sehingga tindakan ini didengar atas merit melalui perbicaraan penuh," katanya lagi.
Siang tadi Malaysiakini melaporkan Nur Sajat Aesthetic disaman syarikat OWA Resources ekoran urusan perniagaan yang dijalankan kedua-dua pihak tidak berlangsung seperti dikehendaki.
"OWA Resources mengesahkan telah memfailkan saman sivil bernilai hampir RM 200,000 terhadap Nur Sajat Aesthetic Sdn Bhd yang dimiliki oleh Muhammad Sajjad kerana gagal membekalkan produk bengkung dan girdle yang ditempah dan dibayar oleh stokis," kata kenyataan dikeluarkan syarikat berkenaan.