Gara-gara urusan perniagaan yang tidak berjalan lancar sebuah syarikat milik Nur Sajat disaman hampir RM200,000.
Dalam satu kenyataan hari ini, plaintif - OWA Resources - berkata mereka mengemukakan saman tersebut terhadap Nur Sajat Aesthetic Sdn Bhd.
"OWA Resources mengesahkan telah memfailkan saman sivil bernilai hampir RM 200,000 terhadap Nur Sajat Aesthetic Sdn Bhd yang dimiliki oleh Muhammad Sajjad kerana gagal membekalkan produk bengkung dan girdle yang ditempah dan dibayar oleh stokis," kata kenyataan tersebut.
Menurut syarikat terbabit kes itu akan dibicarakan di mahkamah Shah Alam pada 24, 25 dan 26 April ini.
OWA Resources akan diwakili peguam Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli.
Sementara itu diminta mengulas saman tersebut, Sajat berkata, sebaik-baiknya dia akan menunggu keputusan perbicaraan yang dijangka berlangsung minggu depan.
“Saya tak mahu ulas lanjut kerana kes ini sudah dirujuk ke mahkamah.
“Apa saya boleh katakan ialah, pihak kami akan tunggu keputusan mahkamah nanti,” katanya kepada Malaysiakini.