Penyanyi Blues Gang, Ito Mohd meluahkan kekecewaannya terhadap tindakan BN menggunakan lagu kumpulan itu untuk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau yang sedang berlangsung.
Ito yang lantang dalam menyuarakan isu cetak rompak sebelum ini berkata susulan itu namanya tercemar meskipun dia tidak menyertai mana-mana parti.
“Ini bukan pertama kali. Nak ambil boleh, tapi bayarlah. Ini pilihan raya. Siapa-siapa pun boleh ambil, tapi bayar performing rights (hak persembahan).
“Jangan main ambil saja. Takkan BN nak jadi lanun juga? Tolonglah, nothing is free (tiada apa yang percuma).
“Apa yang saya mahukan adalah duit saya. Nama saya tercemar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Video berdurasi 2min 18 saat itu memainkan lagu kumpulan tersebut yang bertajuk “Nyomondo” yang menampilkan gambar-gambar calon BN, Mohamad Hasan.
Gambar-gambar tersebut menunjukkan kehidupan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu dari usia muda sehingga kini, serta perjalanan politik beliau dengan disertakan #TeamtTokMat.
Penyanyi lagu Apo Nak Di Kato itu berkata, dia hanya mendapati lagu tersebut diambil tanpa pengetahuannya pada tengah hari tadi.
Katanya, tidak ada mana-mana pihak dari BN yang menghubunginya untuk menggunakan lagu tersebut.
Namun, katanya dia masih belum memikirkan untuk mengambil tindakan selanjutnya.
“Pada mulanya memang saya tak tahu (video berkenaan) dan lagu tu pun memang selalu main di radio Negeri Sembilan.
“Jadi, saya harap tak ada sesiapa ingat saya main politik ke apa. Memang tak ada,” katanya.
Hanya sokong Anwar, PH
Walaupun Ito menafikan dia menganggotai mana-mana parti politik, katanya, dia kini hanya menyokong kerajaan sedia ada, Pakatan Harapan.
“Saya penyokong mana-mana parti, saya bukan ahli mana-mana parti. Tapi sekarang ini saya menyokong Anwar Ibrahim dan PH sebagai kerajaan terkini,” katanya.
Sebelum ini, Ito pernah menegaskan bahawa isu cetak rompak masih berkembang di negara ini kerana ia merugikan negara.
Bahkan, katanya, definisi harta intelek juga sudah berubah sesuai dengan perkembangan zaman.
Selain Mohamad, PRK Rantau menyaksikan pertembungan dengan claon PKR Dr S Streram dan dua lagi calon bebas iaitu Mohd Nor Yassin dan R. Malar.