Kemenangan besar diraih One Two Jaga di Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) malam tadi menyuntik semangat buat Nam Ron untuk terus mengangkat isu-isu sosial yang dekat dengan masyarakat.
Pengarah dan pelakon itu berkata, pengiktirafan ke atas karya berkisahkan gejala rasuah dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuatkan dia lebih berani untuk menghasilkan karya-karya yang memiliki ‘suara’.
“Karya mesti ada satu suara, jadi saya berpegang kepada prinsip itu, walau apa-apa filem 'suara' mesti ada dalam filem," katanya.
Menurut Nam Ron sebagai seniman seseorang itu harus mengangkat persoalan dalam karyanya mengikut kemampuan yang ada.
Mengakui tidak mampu menghasilkan filem seperti Paskal kerana ada kekangan, Nam Ron bagaimanapun bersikap positif untuk karyanya yang akan datang.
“Mungkin lepas ini, saya boleh buat filem pasal amalan rasuah dalam kalangan menteri pula,” katanya.
Pemilik nama penuh Shahili Abdan itu ditemui selepas berakhirnya FFM30 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam tadi.
Perlu ada keberanian
FFM30 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyaksikan 42 filem dipertandingkan bagi merebut 27 kategori.
Mengulas lanjut, kata pengarah filem Gedebe itu, minatnya untuk menghasilkan karya sedemikian kerana sikapnya yang prihatin dan peka terhadap isu yang menyelongkar isu-isu masyarakat.
“Saya ada masalah dengan isu yang berlaku di sekeliling, jadi saya lahirkan dalam satu karya,” jelas Nam Ron.
FFM30 malam tadi menyaksikan One Two Jaga membawa pulang enam anugerah iaitu pengarah terbaik (Namron), filem terbaik, cerita asal terbaik (Pitt Haniff, Muhammad Syafiq dan Namron), poster terbaik (Jazz Pictures), lakon layar terbaik (Amri Rohaiyat, Fared Ayam dan Nam Ron) serta pelakon lelaki terbaik (Rosdeen Suboh).
Bagaimanapun kata Nam Ron, 49, keberanian yang diperlukan untuk menghasilkan karya-karya yang jarang mengikut selera penerbit tempatan atau penonton bukan muncul dalam satu hari.
Sebaliknya, pengarah itu mungkin perlu berdepan pelbagai kesukaran antaranya untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak-pihak tertentu.
“Masa mengarah filem bebas dulu, misalnya, ada karya saya yang tak lepas untuk ditayangkan.
“Dan karya saya buat pula biasanya bukan hanya nak tengok hero and heroin yang cantik,” tambah Nam Ron.
Bagaimanapun, Nam Ron berkata, nasibnya bertuah dan dipermudahkan apabila bekerjasama dengan Bront Palarae yang bertindak sebagai penerbit One Two Jaga.
“Untuk One Two Jaga, Bront berusaha untuk mengeluarkan filem ini walaupun ditolak ke sana sini untuk mendapatkan kelulusan dan kami mendapatnya sebelum pertukaran kerajaan baru.
“One Two Jaga ini kami mula pada 2014 dan dikeluarkan pada tahun 2018, iaitu sebelum pertukaran kerajaan.
"Kami masih berusaha untuk mendapatkan kelulusan filem ini dari Lembaga Penapis Filem (LPF),” katanya.
Majlis malam tadi berlangsung dengan meriah serta dihadiri oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Gobind Singh Deo serta Pengerusi Finas, Samsuni Mohd Nor.