Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Akademi Seni Budaya Warisan dan Kebudayaan (Aswara) tidak membenarkan forum Siapa Selepas Rizon diteruskan pada 21 Mac lalu sebagai langkah menggelakkan imej institusi itu serta Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) terjejas.

Pengarah Komunikasi Korporat Aswara, Farah Malissa Mohsen, berkata sebagai sebuah institusi kerajaan, pihak pentadbiran mempunyai hak melarang sesuatu acara dilangsungkan dalam premis mereka.

“Maaf, kami tak boleh benarkan perkara macam ni berlaku kerana bimbang akan jadi contoh tak baik untuk sebuah institusi kesenian.

"Forum juga dikhuatiri mengganggu sesi pembelajaran yang sedang berlangsung pada waktu itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Khamis lalu satu forum Siapa Selepas Rizon bagi membincangkan isu semasa dan hala tuju Aswara sepatutnya diadakan tetapi dihalang pentadbiran atas faktor-faktor tertentu.  

Pelakon Nam Ron dan pengkritik filem Hassan Muthalib diundang menjadi panel forum tersebut yang dianjurkan oleh seorang bekas pelajar Aswara.

Sekurang-kurang 50 orang hadir termasuk pelajar, wartawan dan beberapa wakil kerajaan.

Beberapa jam sebelum itu, Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh mengiringi beberapa kakitangan Aswara mengemukakan memorandum kepada Motac di Putrajaya.

Difahamkan, ia susulan pelantikan bagi mengisi kekosongan kerusi rektor yang dikhuatiri pelajar akan menggunakan proses kronisme.

Aswara kini berdepan kemelut jawatan rektornya kerana pelantikan sebelum ini oleh Motac tidak disenangi beberapa pihak.

Menurut Malisa, walaupun mereka tidak mengizinkan forum tersebut dilangsungkan ia tidak bermakna Aswara mengamalkan dasar tertutup.

Sebaliknya kata Malisa, Aswara sentiasa bersikap terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak demi kebaikan bersama.

“Sekiranya ada sebarang pertanyaan atau penjelasan, kami terbuka untuk mereka datang bersemuka dengan pihak komunikasi korporat,” katanya.

Katanya sesetengah orang yang mengecam Aswara tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku sebaliknya membuat andaian sendiri sehingga mengundang kenyataan atau pandangan tidak wajar.

Malah katanya sesetengah pandangan itu boleh dianggap sebagai fitnah.

“Kami ambil langkah pencegahan sebab tak nak benda tak diingini berlaku terutama apabila muncul pelbagai kenyataan yang dianggap boleh memberi kesan kepada Aswara,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS