Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tidak akan ada panggung wayang di seluruh Kelantan – exco

Rakyat negeri Kelantan tidak mempunyai sebarang masalah selepas hampir 30 tahun negeri itu tidak mempunyai panggung wayang, kata Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin.

Menurut beliau, pada tahun 1990-an terdapat sebuah pawagam iaitu panggung Rex Audian Lido (Panggung Lido) dan ia mengundang masalah melibatkan pengunjung dan pengusaha.

"Saya terlibat di awal tahun 1990- an kita ada panggung Rex Audian Lido. Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) pada ketika itu mengenakan syarat yang agak ketat kepada pawagam sehingga berlaku ketegangan antara pengunjung dan pengusaha.

"Dua tahun selepas itu pengusaha sendiri menarik diri dan tidak meneruskan aktiviti pawagam," jelasnya ketika berucap pada sesi penggulungan persidangan penggal kedua kali ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Gambar hiasan

Izani yang juga ADUN Kijang berkata demikian sebagai pengulas cadangan daripada Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) supaya kerajaan negeri membenarkan pembukaan panggung wayang di negeri itu.

Semalam, Mohd Syahbuddin berkata kerajaan negeri boleh membuka panggung wayang berkonsepkan patuh syariah yang dikawal sepenuhnya.

Ketika ini, katanya, rakyat Kelantan yang mahu menonton filem perlu ke Terengganu, negeri paling dekat yang mempunyai panggung wayang.

Sementara itu, Izani berkata, majlis mesyuarat kerajaan Kelantan sudah berbincang secara mendalam mengenai permasalahan berkaitan perkara itu.

Katanya, Kelantan sudah tiada pawagam selama 30 tahun dan tiada apa-apa masalah.

"Kerana ada sumber-sumber kalau sekadar nak tengok cerita, kita boleh mengenakan syarat ketat kepada pawagam namun satu lagi, jika kita buka ruang masalahnya penguatkuasaaan terhadap pelanggaran syarat juga sangat bermasalah.

"Itu yang kita kena ambil kira. Yang kedua boleh jadi kita boleh kawal dalam pawagam, tetapi ketika anak-anak keluar nak sampai ke situ (panggung) dan balik selepas 12 tengah malam. Ia akan banyak mengundang masalah gejala sosial," katanya.

Justeru tambah beliau, selepas perbincangan mendalam dan panjang lebar kerajaan negeri memutuskan untuk tidak mewujudkan pawagam di seluruh Kelantan.

"Pada tahun ini juga menteri besar letakkan salah satu fokus utama kerajaan negeri untuk kurangkan gejala sosial. Jadi selepas berbincang secara panjang lebar, kerajaan memutuskan tidak mengadakan pawagam di seluruh Kelantan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS